Wednesday, June 23, 2010

Model pijakan ekonomi Malaysia masani : Satanomics

LESEN JUDI:  MODEL EKONOMI APA?
Dato' Dr. Siddiq Fadzil,
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

ومن أعرض عن ذكرى فإن له معيشة ضنكا ونحشره يوم القيامة أعمى
Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku,  maka sungguh,
dia  akan  menjalani kehidupan yang sempit, dan  Kami  akan
Mengumpulkannya  pada  hari   Kiamat  dalam  keadaan  buta.
(Taha: 124).

Pada suatu ketika seorang tokoh Melayu-Muslim mendakwa tidak menemukan ayat larangan berjudi dalam al-Qur'an,  lalu ramai yang menanggapinya sebagai suatu kelucuan.  Tetapi sebenarnya ia adalah  hal yang malang dan menyedihkan.  Mungkin dakwaan tersebut agak sukar diterima akal,  tetapi demikianlah cara pengarah casino terkenal itu berhelah  untuk mempertahankan kredibilitinya.  Di tengah heboh  isu lesen judi ketika ini,  terlintas suatu kemungkinan bahawa beliau  tidak keseorangan, tetapi  ada lagi orang-orang kenamaan Melayu-Muslim yang tidak mengenal ayat judi,  atau tidak dapat melihat bahaya dan keburukan judi.  Kemungkinan lain ialah lemahnya penguasa politik Melayu-Muslim sehingga tidak berdaya  berkata "tidak!" kepada lobi dan tekanan  taukeh-taukeh judi. Tentu ada pula sebabnya mengapa mereka menjadi selemah itu apabila berhadapan dengan kekuatan wang. Sikap terhadap judi dan maksiat-maksiat lain sebenarnya sangat ditentukan oleh faktor iman dan ilmu. Kedua-dua faktor itulah yang dapat memberikan kekuatan dan keberanian bersikap  dengan benar,   sesuai tuntutan iman dan kebenaran ilmu.

Andainya kita melihat segala sesuatu dari perspektif Qur'ani,  dan andainya Tuhan dan Ayat-Ayat-Nya masih mempunyai erti dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara persoalan ini  tidak akan sampai menjadi isu. Tidak ada alasan apa pun yang boleh dipakai untuk menjustifikasikan judi dalam segala bentuk dan modelnya. Larangan berjudi diungkapkan dalam al-Qur'an dengan nada yang cukup jelas, tegas dan keras sekali:

يآأيّها الذين آمنوا إنّما الخمروالميسروالأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان
.فاجتنبوه لعلّكم تفلحون

Wahai   orang-orang  yang beriman!   Sesungguhnya arak,  judi,
(berkorban untuk)   berhala,  dan  mengundi nasib dengan anak
panah,  adalah perbuatan keji dan  termasuk perbuatan syaitan.
Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.
(Al-Ma'idah:90).

Ayat tersebut bermula dengan ungkapan panggilan  (wahai orang-orang yang beriman!),  suatu gaya panggilan istimewa yang penuh penghormatan.   Mereka yang memiliki sensitiviti keimanan akan tersentak mendengar panggilan tersebut.  Justeru,  kita dipanggil dengan kalimat yang mengungkapkan sikap dan pendirian bijak yang telah kita ambil  iaitu pendirian untuk beriman. Kesan semerta gaya panggilan sedemikian ialah timbulnya kesedaran tentang perlunya sikap konsisten seorang  mukmin iaitu peka dan responsif  terhadap apa jua perintah Tuhan yang diimani.  Orang mukmin tulen akan berasa malu andainya gagal menepati tuntutan iman.  Mengaku beriman dengan Allah,  tetapi kemudiannya mengingkari  perintah-Nya adalah sikap tidak konsisten dan tidak jujur.    Demikianlah al-Qur'an mempersiapkan jiwa dan minda mukmin untuk  menerima perintah yang segera akan menyusul pada kalimat-kalimat berikutnya.

Panggilan tersebut diikuti dengan  sebutan  sejumlah amalan keji yang mencirikan budaya masyarakat jahiliah,  termasuk judi (al-maysir).   Demikianlah hakikatnya,  judi bukan amalan masyarakat maju dan bertamadun tinggi.  Ia adalah sisa kejahiliahan masa lalu yang jijik dan memalukan.  Dalam ayat tersebut judi jelas-jelas disebut  rijsun,  suatu yang keji, kotor dan menjijikkan.  Meskipun mungkin dilakukan di ruang casino yang serba moden, megah dan meriah dengan gemerlap pencahayaan yang berwarna-marni,  hakikatnya ia tetap kotor dan menjijikkan.  Orang yang mempunyai maruah akan berasa malu terlibat dengan judi,  melakukan amalan berjudi,  atau bersikap pro-judi.

Setelah disifatkan sebagai rijsun dengan segala kekejian dan kekotorannya,   disebut pula hakikat judi sebagai produk pekerjaan syaitan (min `amal al-shaytan).  Andainya ada orang yang melihat judi itu baik dan cantik,  sebenarnya ia tertipu dengan pesona hasil gubahan syaitan.   Memang syaitan memiliki kemahiran tinggi  membungkus dan mengemas kekejian sehingga tampak bagaikan kebajikan. Memang  itulah keahliannya:  mempedaya manusia dengan  kejahatan yang dihias indah dan megah sehingga disangka kebaikan tulen dan asli.  Orang mukmin yang sentiasa ingat dan sedar tentang permusuhan abadinya dengan syaitan akan sangat alergik dengan apa sahaja yang terkait dengan syaitan,  lalu sentiasa mewaspadai segala bentuk jebakan dan jerangkap samar syaitan.  Mereka yang melihat judi sebagai suatu yang baik dan menguntungkan,  pada hakikatnya bukan orang bijak,  tetapi orang naïf,  tidak dapat membaca   tipu-daya syaitan dan rakan-rakan kongsinya.

Pemakaian kata shaytan dalam al-Qur'an ada yang meliputi makna  manusia dan jin yang jahat,  menipu orang dengan kata-kata propaganda yang penuh tipu-daya sebagaimana dalam ayat:

وكذالك جعلنا لكل نبيّ عدوّا شياطين الإنس والجنّ يوحى بعضهم إلى بعض
...زخرف القول غرورا
Dan demikianlah untuk setiap nabi Kami menjadikan musuh
yang terdiri daripada     syaitan-syaitan   manusia  dan   jin,
sebahagian  mereka  membisikkan kepada sebahagian yang
lain perkataan yang indah sebagai tipuan.  … (Al-An`am:112).

Demikianlah kata syaitan yang mungkin berwujud sebagai manusia (al-ins)  yang memusuhi nabi-nabi,  menolak dan mengenepikan ajaran-ajaran mereka.  Manusia-manusia syaitan ini juga selalu bekerjasama, saling membantu dalam menciptakan propaganda, dakyah dan slogan indah yang motifnya adalah penipuan dan pembodohan.  Ungkapan "perkataan yang indah"  (zukhrufa 'l-qawl)  mungkin meliputi juga alasan-alasan rekaan untuk menjustifikasikan sesuatu perbuatan atau amalan keji,  termasuk dakwaan kononnya ada judi kebajikan yang bermaksud baik,  untuk mengumpul dana yayasan membantu golongan miskin.  Andainya dasar menjadikan judi sebagai sumber pendapatan itu adalah sejenis model ekonomi, maka nama paling tepat ialah model ekonomi kesyaitanan atau satanomics.
Walau dikemas secantik mana,  dan berikan label seindah mana, selagi hakikatnya adalah judi, al-Qur'an tetap tegas, "maka jauhilah ia!" (fa 'jtanibuhu). Kata "jauhilah" mengisyaratkan makna  betapa keji dan berbahayanya judi sehingga tidak boleh dihampiri,  apa lagi dilakukan.  Al-Qur'an tidak mengatakan jangan lakukan!,  tetapi jauhilah!.  Ertinya, menghampirinya sahaja sudah salah,  belum melakukannya lagi.  Implikasi gaya pengungkapan sedemikian ialah bahawa yang dilarang bukan hanya berjudi,  tetapi juga mewujudkan suasana yang merangsang orang berjudi,    membuka ruang untuk orang berjudi,  dan  memberikan lesen kepada syarikat  perjudian.
Ayat tersebut dihujungi dengan ungkapan pembawa harapan  semoga  "kamu beruntung"  (la`allakum tuflihun).   Jelas yang diberikan harapan akan  beruntung bukan mereka yang berjudi,  tetapi yang menjauhi judi.  Bukankah ada juga orang berjudi yang beruntung?   Sebenarnya tidak ada.  Yang ada ialah orang yang tertipu,  berasa beruntung walhal  pada hakikatnya ia kerugian,  terjerumus dalam kekejian dan menanggung dosa berat dunia-akhirat.  Demikianlah  ketololan manusia tahi judi,   berasa mendapat,  walhal hakikatnya ia kehilangan.   Hilang dan musnahnya harapan untuk mencapai kejayaan dan keberuntungan hakiki.  Demikianlah antara mesej  tersirat ayat al-Ma'idah tersebut:   Berjaya tanpa judi!.
Sebagai produk kemasan syaitan,  judi membawa pelbagai kerosakan moral-sosial yang serius.  Demikianlah seperti yang dijelaskan dalam ayat berikutnya:

إنّمايريدالشيطان أن يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمروالميسرويصدّكم
عن ذكرالله وعن الصلاة فهل أنتم منتهون.

Dengan arak  dan  judi itu,   syaitan  hanyalah  bermaksud
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu,
dan  menghalang-halangi kamu dari mengingat Allah  dan
dan  melaksanakan   solat,   maka   tidakkah  kamu  mahu
berhenti?.                                                    (Al-Ma'idah:91)

Judi yang berkesudahan mengambil harta orang  secara tidak benar,  bukan upah dan bukan keuntungan perniagaan,  menyebabkan kerugian di pihak lain.  Seterusnya kecurangan inilah pula yang membangkitkan rasa marah, benci dan dendam permusuhan seperti yang terluah dalam caci-maki dan sumpah-seranah pihak yang berasa dirugikan. Apalah erti slogan 1 Malaysia jika judi yang jelas-jelas menjadi pencetus permusuhan dan kebencian dibenarkan?   Berjudi memang selalu mengasyikkan kerana dimeriahkan dengan sorak-sorai dan rangsangan syaitan.  Keasyikan itulah pula yang melalaikan orang  sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Tuhan, termasuk tanggungjawab utamanya iaitu solat,  dan tanggungjawab lainnya seperti keluarga dan masyarakat.  Berapa banyak rumah-tangga yang runtuh dan keluarga yang menjadi porak-poranda gara-gara ketagihan judi.

Apabila segala kerosakan tersebut terjadi, bererti tercapailah tujuan syaitan,  dan berjayalah rencana  jahat  mereka.   Bayangkan betapa meriahnya syaitan berpesta ketika  lesen judi diluluskan, dan bayangkan betapa gegak-gempitanya sorak-sorai syaitan nanti apabila ramai orang Islam terjerumus dalam jebakan judi. Secara realitik dapat dipastikan bahawa mekanisme yang ada ketika ini tidak akan berdaya,  dan mungkin sekali tidak akan berminat menghalang orang Islam daripada terlibat dengan judi yang diangkat menjadi sejenis pesta besar. Persoalan ini mengingatkan kita kepada penglibatan  orang Melayu-Muslim dalam syarikat perjudian ternama di negara ini. Catatan Joe Studwell dalam bukunyaAsian Godfathers:  Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia wajar kita renung dengan penuh rasa prihatin,

Lim Goh Tong's casino empire keeps its Malay shareholders
under  very  close wraps  since gambling is  an anathema to
Islam;   almost  all  the  large shareholders in his main listed
vehicles are nominee  companies.    But Lim cannot hide his
dependence on close relationships  with Malaysia's powerful
police force.   Retired  officers  take  many  jobs at  his giant
casino,  while directors and executives of Genting,  his main
company,   have  included  a former  inspector general  and
deputy inspector general of the national police force. (Hlm.
75-76).

Hampir semua orang tahu, termasuk yang bukan Islam bahawa judi adalah suatu kemungkaran besar yang membawa akibat buruk. Tetapi kenapa dibenarkan juga? Al-Qur'an dengan jelas dan tegas menyebutkan antara tanggungjawab penguasa ialah melaksanakan amar makruf nahi munkar, mendorong kemakrufan dan mencegah kemungkaran (al-Hajj:41). Apakah  bisikan taukeh judi sudah mengatasi pesan Ilahi? Agama memberikan panduan jelas kepada pemerintah Muslim agar menjadikan maslahah sebagai asas apabila membuat sesuatu dasar atau keputusan.

تصرّف الإمام منوط بالمصلحة

Tetapi apa yang terjadi  jelas bertentangan dengan prinsip tersebut.  Meluluskan lesen judi bererti menjadikan  mafsadah(kerosakan) sebagai asas pijakan dalam membuat dasar dan keputusan. Bagaimana rakyat dapat merasa damai, tenang dan yakin jika pemerintahnya  sudah tidak komited kepada prinsip  maslahah, malah  sebaliknya sudah hilang kepedulian terhadap tanggungjawab melindungi  rakyat dari mafsadah dan kebejatan moral-sosial.
Melihat hal-hal di sekitar  isu ini, rakyat mulai bertanya siapa sebenarnya yang berkepentingan dalam kelulusan lessen judi ini? Kenapa pemimpin-pemimpin politik kelihatan tidak berdaya menolak kemahuan syarikat-syarikat perjudian  sehingga pesan Tuhan tidak dipedulikan dan suara rakyat tidak diindahkan.  Apakah ini satu lagi bukti yang membenarkan dakwaan Noreena Hertz tentang berlakunya gejala pengambilalihan kuasa secara senyap?  Dalam bukunya  The Silent Takeover:  Global Capitalism and the Death of Democracy beliau mengatakan,
Politicians  are  increasingly  seen as impotent,   irrelevant,
and  dishonest.    People  see  their governments  as unable
to  deliver what  they promise,  obsessed with unimportant
issues  and  internal   politicking,    riddled  with corruption,
clinging to outmoded notions of authority,  and increasingly
in the pockets of businesspeople. (hlm. 121).

Alangkah malangnya jika benar bahawa pemimpin-pemimpin politik  yang mewakili rakyat sudah  …increasingly in the pockets of businesspeople,  sudah semakin jauh berada dalam poket tokoh-tokoh dan taukeh-taukeh perniagaan,  termasuk  pemilik-pemilik syarikat perjudian.
Mungkin  ada yang mempertahankan dasar membenarkan perjudian atas perkiraan ekonomi, bahawa Judi adalah sumber penting pendapatan negara. Mungkin ada negara atau pihak-pihak lain yang menjadikan  judi  sebagai sumber pendapatan,  tetapi yang pasti judi tidak boleh dan tidak mungkin menjadi sumber kesejahteraan.  Sebaliknya ia  adalah punca kesengsaraan. Tidak mempedulikan pesan dan peringatan Tuhan bererti  menempah kesengsaraan. Itulah yang dimaksudkan dengan ma`isyatan danka (kehidupan yang sempit)  sebagaimana diperingatkan  dalam ayat 124 surah Tahadi atas. Meskipun mungkin ditimbuni harta yang melimpah ruah,  tetapi ia adalah kehidupan yang terputus dari rahmat  Tuhan dan tersisih  dari naungan-Nya. Sumber kesejahteraan adalah Allah, Tuhan yang bernama al-Salam. Tidak ada kesejahteraan, kedamaian dan keteduhan  selain dalam kehidupan yang sirami rahmat Ilahi dan diteduhi  naungan-Nya. Tanpa rahmat dan naungan-Nya yang ada hanya keresahan, ketegangan, keraguan dan ketakutan. Hidup tanpa rahmah dan barakah itulah yang disebut hidup yang malang dan celaka  dalam hikmah kepujanggaan bangsa:
Bergantung kepada Yang Satu
Berpegang kepada Yang Esa
Tuah hidup sempurna hidup
Hidup berakal mati beriman
Malang hidup celaka hidup
Hidup tak tahu halal haram.

No comments: