Monday, April 26, 2010

Shoubra, Gelapkah Masa Depan ? (2)

Bidang pendidikan memang bidang strategik yang menjadi sasaran pelbagai pihak berkepentingan. Akibat nafsu kepentingan itulah ketika ini pendidikan mengalami PENCEMARAN POLITISASI dan KOMERSIALISASI yang melampau - lampau. Malah bidang ini sudah disebut secara meluas sebagai industri pendidikan. Kata industri adalah kata sarat dengan makna ekonomi - penghasilan produk dalam jumlah yang banyak dalam bentuk yang seragam.- Dato' Dr. Siddiq Fadzil



 

Sunday, April 25, 2010

Shoubra, Gelapkah Masa Depan ? (1)

SHOUBRA, 19 April - Kesyukuran yang tidak terhingga terpancar di wajah setiap mahasiswa tahun satu Maahad Qiraat Shuobra apabila mereka dibenarkan untuk menjalani ujian lisan (syafawi) di sana.

Desas-desus yang mengatakan bahawa ujian lisan bagi mahasiswa tersebut terpaksa ditangguhkan berakhir apabila Pengetua (Mudir) Maahad tersebut membenarkan mereka menjalani ujian walaupun dokumen pengajian mereka masih belum sampai kepada pihak pentadbiran maahad.
Ujar Pengerusi PMRAM Cawangan Shoubra, Saudara Mohd Naim bin Hassan "Kejadian seperti ini merupakan 'rukhsah' daripada pihak pengetua maahad. Kalau sebelum ini, agak sukar bagi mahasiswa Shoubra mengambil peperiksaan dalam keadaan nama masih belum dinaikkan di maahad". Mereka yang seramai 104 orang itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil PMRAM Pusat iaitu Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime bersama Timbalan Presiden Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman serta Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi sebagai wakil Badan Pengurus dari Shoubra yang turut hadir pada pagi tersebut demi memastikan semua mahasiswa tahun satu tidak mempunyai masalah untuk menjalani ujian lisan tersebut.

Presiden PMRAM berkata "Kejadian seperti ini bukan kali pertama yang dihadapi oleh mahasiswa Shoubra. Saya pun tidak pasti bagaimana urusan untuk kenaikan nama di Maahad Qiraat Shoubra yang dilakukan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Setiap tahun nama mahasiswa tahun satu di sini semakin lewat untuk proses kenaikan".
Keadaan yang sama juga berlaku bagi mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Mansurah. Sehingga kini nama mereka juga masih belum sampai pada pihak pentadbiran maahad di Mansurah.
Ujar Presiden lagi "Walaubagaimana sekalipun pihak PMRAM akan berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang. PMRAM berharap supaya semua ahli sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan

Sumber : PMRAM 

Sunggupun diberi ruang rukhsah, hakikatnya jalan keluar dari masalah ini masih jenuh untuk dicari. Rukhsah ini adalah sebagai respon prihatin Mudir Maahad Qiraat Shoubra atas kelesuan pihak yang menguruskan kenaikan nama bagi pelajar Malaysia di sini.

Trafik kedatangan pelajar baru yang meningkat gandaan tinggi sejak beberapa tahun lepas, jelas tidak disokong sistem kemasukan yang jitu. Ibarat jemputan kenduri yang mengundang ribuan orang namun tenaga masak hanya seorang, kemudian jemputan disuruh bersabar menanti hidangan. Sedangkan si penganjur  lebih dari mampu mengupah ratusan tenaga kerja bagi menyediakan makanan.

Usah palsukan genggaman harapan yang terbang ribuan batu hanya untuk dihampakan dengan kelesuan sistem ini. Sementara pendidikan menjadi instrumen penting pembentukan bangsa, usahlah baka-baka baru ini dibiarkan tersadai dalam perjalanan membentuk wibawa ini.

Friday, April 23, 2010

Suara Shoubra, Intelek Iskandariah, Wacana Wilayah



Saya mengikuti penuh minat perbincangan ini dan ini. Tajuknya bagaimana novel KARIPAP - KARIPAP CINTA mampu masuk ke dalam carta bestseller MPH selepas satu bulan diterbitkan. Nyata antara salah satu faktor utamnya adalah kerana hasil kreativiti tinggi kulit depannya.


Peranan muka depan sesebuah buku amat penting sebagai daya pelaris sesebuah produk. Muka depan akan membentuk first impression berkesan kepada para konsumer.

Maka, sidang editor Suara Kampus Gabungan Taakhi bertekad menampilkan hasil terbaik untuk edisi ini. Kami sentiasa kepada percaya kepada prinsip customers are the heart of everything.


Lupakan warna suram, grafik muram

Ekspresi riang kanak- kanak kami tampikan sebagai fokus utama kepada design ini bertepatan tema taakhi yang dibawa. Dalam hubungan interaksi sesama manusia, tahap ukhuwah antara kanak - kanak adalah yang paling jujur.

Kumpulan ini terlalu suci untuk mengenal apa itu dengki dalam bersahabat. Juga kanak - kanak langsung tidak mengenali bermuka - muka dalam bersilaturahmi. Berbeza tahap lainnya, hubungan interaksi kerap kali bersulam unsur buruk yang meremuk dan memusnah nilai sakral persahabatan.

Huruf I, S, dan W itu memang sengaja dibesarkan sebagai simbolik tenaga utama menjana penerbitan Suara Kampus ini. Huruf I mewakili kota Mediterranean indah Iskandariah, S tentunya kepada bandar jantan Shoubra dan W dedikasi khas kepada kota kosmo Wilayah Persekutuan.

Akar untuk memulakan sebuah ikatan persahabatan cemerlang, mulakan dengan perkara - perkara ringkas dan mudah. Islam memulakan episod ukhuwah dengan perkara mudah dan ringkas ini, ucapan memberi salam sebagai kunci awal kepada pembinaan ukhuwah.

Untuk itu, edisi ini juga membawa sidang pembaca menilai tahap ukhuwah dengan membawa pandangan dari bumi Yaman, dari tanah Melayu dan seratanya.

Tambahan, edisi kali ini juga menyuntik teknologi baru kepada sejarah muka depan Suara Kampus. Tulisan Suara Kampus ditampilkan timbul demi memberi lebih nilai kepada pembeli

Berbaloi ?
Memang Berbaloi !

Dapatkan di kedai BKAN & DPM anda !

Wednesday, April 21, 2010

Quo Vadis ?

  1. Secara tidak rasmi, warga Shoubra menyambut ulang tahun kelewatan kenaikan nama buat kali ke tiga. Tahun ini sambutan berlangsung tepat ke hari peperiksaan. Sehingga sekarang pun, masih disambut.
  2. Akar masalah tiap kali berpindah saban tahun. Terkadang ladang tanaman sudah sesak dengan benih baru,  terkadang benih yang dihantar kurang sifatnya dan  terkadang tuan kebun malas menyemai.  
  3. Ketika realiti pendidikan begitu terkait rapat dengan segala bentuk kelulusan, sijil, pengiktirafan pihak itu dan ini, benarkah pendidikan kini makin dikongkong tuan millik kuasa dan taukeh punya dana.
  4. Setiap masalah punya jalan keluar. Doakan supaya solusi pantas dicari 
p/s: Perkara terakhir yang  mahu saya dengar adalah bumi Shoubra tidak lagi menjadi bumi interaksi Melayu - pribumi 

Saturday, April 17, 2010

BATTLE OF JITRA



Sungguhpun tidak mencapai pertempuran epik, namun sudak cukup menerujakan pabila mengetahui Jitra punya 'battle'nya sendiri. 

Tapi, 'battle' ini antara dua kuasa imperal, apa faedah kepada warga pribumi ? 

Wednesday, April 7, 2010

JITRA: SATU CATATAN KEPRIHATINAN (1)

Demi berlaku adil pada Jitra, maka tulisan ini harus juga dilayangkan.

Menjenguk kembali Jitra setelah hampir beberapa lama menyepi, pita nostagia memutar kisahnya. Anak kecil yang berjiran Masjid Al-'Ala itu, kini berkepit pula dengan istana. Anak cikgu itu pun sudah panjang jejak hingga luar negara.

Akan Jitra, harkat majunya berundur tidak, derasnya juga makin dirasa. Jika sepuluh tahun lalu, masih riang berlari di bendang padi, alih sedekad berlari di celahan bangunan batu. Dulu, hiruk memandu satu lorong, kini sudah bertambah dua, malah tiga. Yang suatu ketika megah diwakili sang Perdana Menteri kini pencen pun sudah, berTun pun sudah.

Sehingga kini, Jitra punya satu imej kekal tegar melingkarinya. Jika digali dalam-dalam, diperhati tajam-tajam, imej tegar ini akan segera terpancar. Mungkin saja imej ini tidak popular tatkala pandangan umum berpendapat semua imej harus pantas dirasa materinya, dizahir batang tubuhnya.

Secara konsisten, Jitra masih tegar dililit imej bandar pendidikan.Malah tidak keterlaluan, dilabel kota pendidikan Kedah. Lihat saja ragam institusi pelbagai jalur yang melingkari Jitra.

Galur tradisional, konvesional dan alternaif semuanya telahpun mewarnai citra pendidikan Jitra sejak lamanya. Sebagaimana adat alam, sesuatu kejadian pasti punya pasang surutnya, begitu juga ketiga galur ini.Pra kemerdekaan, mungkin sahaja galur tradisional punya pengaruh luas sebelum diganti aliran konvensional yang kini semakin terjelir kebobrokannya, memungkinkan galur alternatif kian mendaki tangga puncaknya.

Namun bukan kemasyuhran galur menjadi mauduk utama di sini...
Bersambung..

(p/s)   Memasuki tempoh lesu. Tulisan-tulisan seterusnya mungkin juga akan digantung begini. Doakan untuk terus diberi limpah idea dan daya usaha untuk terus menulis.

Thursday, April 1, 2010

Kerja Kooperatif

1

Syukur pada mengarunia pada makhluk hina upaya akal, yang memberi tahu dari tiadanya dan yang menarik dari gelap zulumat pada panahan nur. Alhamdulillah.


Jika ingin mlihat bagaimana paduan idea yang digabung antara ke'macho'an penulis jantan dilentur lembut kuisan angin utara bersama elitis kota, April 2010 tarikh keramatnya.

2


Maka berbicaralah sohibul kalam akan tarikh masyhur hikayatnya seorang ulama besar jauh di tanah Arab sana. Akan ulama ini terbuktilah ia alim wal maklum, faqih lagi thiqah.Tiada ia bermukim di suatu tempat yang lebih kudus, melainkan kota suci Madinah Al-Munawwarah jua tempatnya. 

      Adapun menurut salasilahnya, datangnya ulama’ mulia ini dari kota Rom, tiadalah ia membawa maksud ia datang sendiri dari kota Rom sana, bahkan dihikayatkan moyangnya bahadur Rom yang ditawan pada kala empayar khalifah gagah lagi perkasa, Saidina Umar Al-Khattab. Tatkala ditawan, dibawa datuknya ke pasar untuk didagang pada yang perlu hajatnya atau yang kembung poketnya. 
      Lalu setelah khatamnya zaman demi zaman, lahirlah seorang putera dari surih-surih bahadur Rom sebelumnya.....


Leraikan kesudahannya dalam Suara Kampus edisi taakhi !