Monday, June 30, 2014

Tadabbur Al-Quran: Penceritaan Model Khalifah, Kisah Kejayaan & Kegagalan


Tuesday, June 24, 2014

Pengajaran dari Piala Dunia (Bahagian 1)

Satu hakikat yang pasti, Malaysia masih belum lagi layak ke temasya bola sepak terbesar dunia, Piala Dunia.

Sebagai sebuah anggota gabungan FIFA, Malaysia masih lagi terkandas pada pusingan kelayakan, membantutkan usaha untuk menjejak kaki ke Piala Dunia.

Malaysia bolehlah digelar sebagai negara penonton setiap kali Piala Dunia berlangsung.

Sebagai negara penonton, apakah yang mampu dilihat oleh Malaysia dan warganya pada setiap edisi Piala Dunia?

Piala Dunia sebagai sebuah penganjuran temasya sukan terbesar dunia, mampu memberi banyak pengajaran terhadap Malaysia bersangkut hal-ehwal yang tidak hanya berkaitan dengan sukan, malahan bersangkut dengan pembinaaan negara, kestabilan bangsa dan kedaulatan negara.

Pemilihan Brazil sebagai tuan rumah Piala Dunia pada tahun ini meneruskan trend baru di dalam penyertaan negara-negara terlibat.

Trend ini yang secara ketara dikesan pada edisi 1998 di Perancis dan berterusan pada tahun penganjuran berikutnya. 

Trend ini ditanda dengan kemunculan pemain transnasional, meminjam istilah yang dikenalkan oleh ahli sosiologi Anthony King, mengubah corak dan pola penyertaan pemain bagi sesebuah negara.

Secara mudahnya, pemain transnasional merujuk kepada  pemain yang mempunyai lebih dari satu negara untuk diwakili.

Sebagai contoh, pemain tersebut mungkin lahir sebuah negara di Afrika, namun memilih bermain untuk sebuah negara Eropah.

Faktor ini didorong oleh migrasi, keturunan, negara kerjaya pemain tersebut dan lain-lain. Bagi seorang pemain, faktor dalaman yang mendorongnya memilih negara lain selain dari negara kelahirannya bergantung kepada prospek kejayaan yang lebih tinggi, kemasyhuran, peluang bermain yang lebih cerah, ransangan ekonomi, kepuasan dan sebagainya.

Sehingga kini, Perancis lagi terhutang budi kepada Zinedie Zidane, anak migrasi Algeria yang memilih untuk mewakili Perancis pada Piala Dunia 1998, dan menjaringkan dua gol menumpaskan Brazil pada perlawanan akhir.

Pada edisi 2002, kejayaan German layak ke perlawan akhir sebahagian besar disumbangkan oleh gol-gol jaringan pemain kelahiran Poland, Miroslav Klose, sebelum German yang manjadi tuan rumah pada 2006, dikuatkan oleh tonggak keturunan Turki, Mesut Ozil.

Manakala Mario Balotelli, anak migrasi Ghana menjadi pemain kulit hitam pertama mewakili Itali pada Piala Dunia 2010.

Malahan, pentas utama Brazil 2014 menyaksikan sensasi muda England, Raheem Sterling, pemain kelahiran Jamaica mengibarkan cabaran England. 

Anthony De Guzman pemain Belanda yang lahir di Kanada dari seorang bapa asal Filipina dan ibu dari Jamaica.

Bintang muda Manchester United, Adnan Janujaz mengikut undang-undang FIFA boleh mewakili samada Belgium, Albania, Croatia, Serbia, Bosnia Herzegovina atau Turki.

Apa pelajaran yang boleh diambil Malaysia dari pengalaman sebegini?

Dalam perkembangan dunia yang semakin bergerak pantas, mewujudkan kampung global yang luas, konsep kewarganegaraan tidak lagi berlegar pada konsep-konsep lama.

Dalam pembentukan negara-bangsa, warganya selalunya dikaitkan dengan beberapa persamaan sejarah, budaya, dan bahasa.

Namun realitinya, hampir kesemua negara termasuk Malaysia bergerak keluar dari pemahaman ini kepada sebuah konsep yang lebih dinamik.

Kesannya, idea kewujudan bangsa tunggal bagi sebuah negara hampir mustahil untuk dipertahanakan bagi sesebuah negara. 

Kepelbagaian dan kemajmukan, perlu menjadi identiti penting sesebuah negara dan keperluan untuk menerapkannya menjadi lebih mustahak beranding sebelumnya.

Kepelbagaian dan kemajmukan akan menjadi sesebuah negara lebih terkehadapan, kaya pengalaman dan wacana.

Namun, pada masa yang sama akan turut menimbulkan perbezaan dan perselisihan.

Cabarannya tidak lagi bergerak dari titik menghapuskan perbezaan yang pelbagai, namun tetap menerima perbezaan dan menguruskannya dengan kebijaksanaan yang berhikmah.

Menghapuskan perbezaan adalah tindakan dangkal yang mengakibatkan negera semakin jauh ketinggalan dek kerana potensi negara ditumpukan kepada hal yang tidak sepatutnya, bahkan akan terus melebarkan permusuhan kepada golongan yang ditentang.

Menanggapi perbezaan dan mengiktiraf hak untuk berbeza kemudiannya menyelesaikan perbezaan jika disikapi sebagai sebuah proses kematangan negara akan memberi keuntungan yang cukup bernilai dan memberi nikmat yang amat besar.

Hal ini mampu dengan kewujudan alat-alat penyatuan bangsa yang berkesan dan tahan uji.

Bagaimana ini dapat dilakukan?

Secara asas, alat-alat penyatuan bangsa terletak pada agama, sejarah, budaya dan bahasa.

Ketiga perkara ini merupakan titik peyatuan paling dasar yang mampu dicapai bersama, tanpa menafikan perlunya sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan.

Penyatuan dengan pemahaman yang jelas, perlaksanaan yang ikhlas oleh negarawan, kesanggupan yang tinggi oleh rakyat akan mampu.

Tata letak masyarakat Malaysia memustahilkan penyatuan bangsa, secara literalnya, dilakukan.

Pengalaman Malaysia menyaksikan asilimilasi sebagai sesuatu yang amat asing dan ganjil, memaksa dan meleburkan jati diri bangsa bukanlah pilihan yang terbaik. Konflik akan berlanjutan dan melebar.

Penyatuan agama tidaklah bermakna menyamakan kedudukan semua agama di atas tahap yang sama sementelahan kedudukan Islam yang sudah diletakkan sebagai agama Persekutuan, namun ruang pengamalan agama lain di Malaysia memungkinkan persamaan umum yang terdapat di dalam setiap kepercayaan untuk membentuk ruang beragama dan bernegara di bawah langit toleransi, kesederhanaan, setiakawan dan perpaduan.

Hakikat bahawa setiap agama memusuhi tindakan yang melampau dan ganas adalah sumber terbaik bagi masyarakat beragama di negara ini.

Peranan bahasa sebagai citra yang menggambarkan pandangan alam penuturnya, tidak kurang pentingnya.

Bahasa adalah wahana kepada warga bagi menzahirkan hasrat bernegaranya. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bangsa kebangsaan, memerlukan keazaman tinggi penutur aslinya untuk membolehkan ia digunakan secara meluas dan berkesan.

Meyakini bangsa kebangsaan dan memposisikannya di arus perdana dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, komunikasi dan media, agama dan budaya membolehkannya berkembang dengan kuat dan matang bagi mendukung aspirasi besar negara.

Bahasa Melayu wajar menjadi lidah yang bercakap bagi pemimpin dan rakyat untuk menzahirkan hasrat denyut hati negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Memahami budaya sebagai sebuah ciri khas sesebuah masyarakat amat mustahak. Dengan renungan tersediri terhadap alam dan suasana sekelilingnya, sesebuah masyarakat mencirikan budayanya.

Khazanah kemajmukan budaya di Malaysia adalah kekayaan yang perlu diakui. Pengekalan budaya yang tidak terpisah daripada identiti rakyat asal di rantau ini secara umum, perlu dipertahankan.

Keaslian budaya akan menjadi benteng kukuh daripada penghakisan keperibadian masyarakat berhadapan kegugatan dalaman mahupun luaran yang ganjil.

Rempuhan yang mampu menghilangkan keaslian budaya adalah malapetaka besar menanti khazanah budaya.

Justeru, budaya yang bersifat cekal dan luhur adalah ciri-ciri budaya yang utuh dan teguh.

Hal ini tidak menafikan nilai dan budaya luar perlu ditolak sepenuhnya, bahkan terlebih dahulu perlu disaring dan dihalusi bagi mengekalkan wajah asli sebuah budaya dan peradaban yang terangkum di seluruh penjuru Malaysia. 

Secara pasti, kewujudan Malaysia tidaklah bermula dari vakum.

Berdasarkan catatan sejarah, suatu konsep asal sudah pun ada sejak sebelum pembentukan negara ini, bahkan bagi meneruskan langkah besar seterusnya, semua warga perlu memperakui dan meneliti hal ini bagi memastikan simpulan asas pembentukan negara ini sentiasa kemas dan rapi.

- Artikel ini tersiar di The Malaysian Insider pada 22 Jun 2014