Thursday, December 25, 2014

Baladan Amina

Tuesday, August 12, 2014

Mengubah krisis menjadi peluang

Menyeluruhi krisis bukanlah tugas mudah, apatah lagi mencapai sebuah keputusan bagi menyelesaikan krisis. Namun dengan penilaian dan sikap yang tepat, krisis mampu untuk melonjakkan kematangan organisasi, kewibawaan pemimpin dan menjadi pengalaman mahal bagi menempuh hari muka.

Penulis ingin membawa sebuah krisis yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Uthman r.a yang dihitung wajar bagi meletakkan sebuah kefahaman yang perlu disoroti apabila berhadapan krisis dan mencari jalan keluar dari sebarang kemelut bersangkut nasib untung rugi umat.

Mengelak daripada krisis bukanlah jalan terbaik apabila kita memahami kekhilafan sendiri merupakan sunnatullah, tapi yang jauh lebih buruk memilih kata putus yang salah dalam menyelesaikan krisis. Maka penting, krisis dianggap sebagai sebuah peluang memanfaatkan kewarasan akal, perhitungan emosi dan perhitungan antara kebenaran dan kebatilan.

Ketika pemerintahan Saidina Uthman ibn Affan r.a, berlaku krisis keyakinan yang besar. Ekspidisi pembukaan kota-kota baharu menghimpunkan ketumbukan tentera Muslimin dari pelbagai latar budaya sehinggalah berlaku pertelagahan berhubung kaedah bacaan Al-Quran yang paling tepat dan fasih.

Perselisihan penduduk Syam dan Iraq berhubungan kaedah bacaan Al-Quran, sehingga wujud kata kejian dan makian antara satu sama lain, mendakwa bacaan mereka paling fasih dan benar tentulah sebuah krisis yang runcing. Bagaimana mungkin tentera Islam, yang berada di jalanNya, berjuang meninggikan kalimahNya tidak sepakat pada melantunkan bacaan kalimahNya, ayat-ayat Al-Quran?

Diperkirakan krisis ini adalah sebuah kegoncangan besar, menyangkut soal kerpercayaan paling mendasar bagi kaum Muslimin, berhubung kesucian Al-Quran, tinggalan Nabi Muhammad s.a.w yang keimanan dan pengamalan berdasarkan kitab ini akan mampu membawa umat ke hadapan membina sebuah peradaban gemilang.

Sekiranya krisis dibiarkan berlanjutan, kekuatan Islam dan Muslimin akan menjadi lemah dan mundur, kembali dibucukan kepada semananjung Arab sahaja, sedangkan kemaraan dan pengaruh kaum Muslimin sudahpun melangkaui Asia Tengah, Afrika dan Eropah.

Ternyata kepimpinan Saidina Uthman seluruhnya yang bergerak secara kolektif, tidak membenarkan perkara ini berlaku. Beliau mengambil penilaian dan sikap yang bijak, berusaha untuk mengubah krisis ini menjadi sebuah peluang; peluang bagi memantapkan kesatuan, mendalamkan pasak keimanan dan menghangatkan kembali semangat juang.

Walhasil, sebuah panel kajian, dianggotai pakar dan ilmuan di dalam bidang berkaitan dibentuk bagi menyelesaikan krisis sehinggalah tercapai keputusan bersejarah yang kini dikenali Al-Quran Mushaf Uthmani, sebuah iltizam yang lahir dari niat untuk meninggikan agama, memelihara maslahah umat dan mengeluarkan umat dari bahaya perpecahan.

Dilihat dalam rantaian sejarah yang luas, hasil dari kesepakatan Saidina Uthman dan barisan kepimpinannya, keputusan ini berjaya untuk meletakkan satu batu asas penting dalam permuafakatan umat Islam. Lahirnya tokoh-tokoh sarjana di seluruh belahan dunia menumpukan perhatian memperteguh kefahaman dan memperutuh penghayatan terhadap Al-Quran di sepanjang zaman.

Sekadar menyebut beberapa orang tokoh berpengaruh mewakili zaman dan lokaliti masing-masing yang jasa mereka terlalu besar untuk dinilai hingga kini. Imam Qurthubi, kelahiran Cordoba, pengarang tafsir yang cukup masyhur, Al Jami' Li Ahkamil Quran berjaya merungkai permasalahan Al-Quran secara cukup sistematik.

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali kelahiran Tus, Iran yang menggariskan tingkatan ilmu di dalam Al-Quran dalam karyanya Jawhirul Quran. Malahan masyarakat Islam nusantara terhutang budi kepada Buya Hamka, pengarang prolilik, yang menulis dengan penuh kepedulian dalam Tafsir Al-Azhar. Malahan Hamka di dalam sendiri menulis, bahawa “iaitu sangat bangkitnya minat angkatan muda Islam di tanahair Indonesia dan di daerah-daerah yang berbahasa Melayu hendak mengetahui isi Al-Quran di zaman sekarang, padahal mereka tidak mempunyai kemampuan mempelajari bahasa Arab".

Beribu bahkan berjuta sekarang angkatan muda Islam mencurahkan minat kepada agamanya, kerana menghadapi rangsangan dan tentangan dari luar dan dari dalam. Semangat mereka terhadap agama telah tumbuh, tetapi "rumah telah kelihatan, jalan ke sana tidak tahu", untuk mereka inilah khusus yang pertama "Tafsir" ini saya susun.

Tidakkah adanya krisis kefahaman terhadap Al-Quran di kalangan belia Islam pada zaman Hamka yang tidak mampu memahami Al-Quran sebaiknya ? Namun, Hamka bertindak proaktif menyelesaikan krisis ini dengan sebuah usaha besar menyediakan peluang kepada muda belia Melayu menghayati keindahan Al-Quran melalui bahasa ibunda mereka, Bahasa Melayu.

Kesemunya, secara langsung mahupun tidak, berhutang jasa dan budi di atas kekuatan iltizam Saidina Uthman r.a untuk memecahkan belenggu yang ada pada jasad umat Muslimin seluruhnya dan untuk mengubah krisis menjadi sebuah peluang. 

–Tulisan ini tersiar di The Malaysian Insider pada  11 Ogos,2014

Monday, June 30, 2014

Tadabbur Al-Quran: Penceritaan Model Khalifah, Kisah Kejayaan & Kegagalan


Tuesday, June 24, 2014

Pengajaran dari Piala Dunia (Bahagian 1)

Satu hakikat yang pasti, Malaysia masih belum lagi layak ke temasya bola sepak terbesar dunia, Piala Dunia.

Sebagai sebuah anggota gabungan FIFA, Malaysia masih lagi terkandas pada pusingan kelayakan, membantutkan usaha untuk menjejak kaki ke Piala Dunia.

Malaysia bolehlah digelar sebagai negara penonton setiap kali Piala Dunia berlangsung.

Sebagai negara penonton, apakah yang mampu dilihat oleh Malaysia dan warganya pada setiap edisi Piala Dunia?

Piala Dunia sebagai sebuah penganjuran temasya sukan terbesar dunia, mampu memberi banyak pengajaran terhadap Malaysia bersangkut hal-ehwal yang tidak hanya berkaitan dengan sukan, malahan bersangkut dengan pembinaaan negara, kestabilan bangsa dan kedaulatan negara.

Pemilihan Brazil sebagai tuan rumah Piala Dunia pada tahun ini meneruskan trend baru di dalam penyertaan negara-negara terlibat.

Trend ini yang secara ketara dikesan pada edisi 1998 di Perancis dan berterusan pada tahun penganjuran berikutnya. 

Trend ini ditanda dengan kemunculan pemain transnasional, meminjam istilah yang dikenalkan oleh ahli sosiologi Anthony King, mengubah corak dan pola penyertaan pemain bagi sesebuah negara.

Secara mudahnya, pemain transnasional merujuk kepada  pemain yang mempunyai lebih dari satu negara untuk diwakili.

Sebagai contoh, pemain tersebut mungkin lahir sebuah negara di Afrika, namun memilih bermain untuk sebuah negara Eropah.

Faktor ini didorong oleh migrasi, keturunan, negara kerjaya pemain tersebut dan lain-lain. Bagi seorang pemain, faktor dalaman yang mendorongnya memilih negara lain selain dari negara kelahirannya bergantung kepada prospek kejayaan yang lebih tinggi, kemasyhuran, peluang bermain yang lebih cerah, ransangan ekonomi, kepuasan dan sebagainya.

Sehingga kini, Perancis lagi terhutang budi kepada Zinedie Zidane, anak migrasi Algeria yang memilih untuk mewakili Perancis pada Piala Dunia 1998, dan menjaringkan dua gol menumpaskan Brazil pada perlawanan akhir.

Pada edisi 2002, kejayaan German layak ke perlawan akhir sebahagian besar disumbangkan oleh gol-gol jaringan pemain kelahiran Poland, Miroslav Klose, sebelum German yang manjadi tuan rumah pada 2006, dikuatkan oleh tonggak keturunan Turki, Mesut Ozil.

Manakala Mario Balotelli, anak migrasi Ghana menjadi pemain kulit hitam pertama mewakili Itali pada Piala Dunia 2010.

Malahan, pentas utama Brazil 2014 menyaksikan sensasi muda England, Raheem Sterling, pemain kelahiran Jamaica mengibarkan cabaran England. 

Anthony De Guzman pemain Belanda yang lahir di Kanada dari seorang bapa asal Filipina dan ibu dari Jamaica.

Bintang muda Manchester United, Adnan Janujaz mengikut undang-undang FIFA boleh mewakili samada Belgium, Albania, Croatia, Serbia, Bosnia Herzegovina atau Turki.

Apa pelajaran yang boleh diambil Malaysia dari pengalaman sebegini?

Dalam perkembangan dunia yang semakin bergerak pantas, mewujudkan kampung global yang luas, konsep kewarganegaraan tidak lagi berlegar pada konsep-konsep lama.

Dalam pembentukan negara-bangsa, warganya selalunya dikaitkan dengan beberapa persamaan sejarah, budaya, dan bahasa.

Namun realitinya, hampir kesemua negara termasuk Malaysia bergerak keluar dari pemahaman ini kepada sebuah konsep yang lebih dinamik.

Kesannya, idea kewujudan bangsa tunggal bagi sebuah negara hampir mustahil untuk dipertahanakan bagi sesebuah negara. 

Kepelbagaian dan kemajmukan, perlu menjadi identiti penting sesebuah negara dan keperluan untuk menerapkannya menjadi lebih mustahak beranding sebelumnya.

Kepelbagaian dan kemajmukan akan menjadi sesebuah negara lebih terkehadapan, kaya pengalaman dan wacana.

Namun, pada masa yang sama akan turut menimbulkan perbezaan dan perselisihan.

Cabarannya tidak lagi bergerak dari titik menghapuskan perbezaan yang pelbagai, namun tetap menerima perbezaan dan menguruskannya dengan kebijaksanaan yang berhikmah.

Menghapuskan perbezaan adalah tindakan dangkal yang mengakibatkan negera semakin jauh ketinggalan dek kerana potensi negara ditumpukan kepada hal yang tidak sepatutnya, bahkan akan terus melebarkan permusuhan kepada golongan yang ditentang.

Menanggapi perbezaan dan mengiktiraf hak untuk berbeza kemudiannya menyelesaikan perbezaan jika disikapi sebagai sebuah proses kematangan negara akan memberi keuntungan yang cukup bernilai dan memberi nikmat yang amat besar.

Hal ini mampu dengan kewujudan alat-alat penyatuan bangsa yang berkesan dan tahan uji.

Bagaimana ini dapat dilakukan?

Secara asas, alat-alat penyatuan bangsa terletak pada agama, sejarah, budaya dan bahasa.

Ketiga perkara ini merupakan titik peyatuan paling dasar yang mampu dicapai bersama, tanpa menafikan perlunya sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan.

Penyatuan dengan pemahaman yang jelas, perlaksanaan yang ikhlas oleh negarawan, kesanggupan yang tinggi oleh rakyat akan mampu.

Tata letak masyarakat Malaysia memustahilkan penyatuan bangsa, secara literalnya, dilakukan.

Pengalaman Malaysia menyaksikan asilimilasi sebagai sesuatu yang amat asing dan ganjil, memaksa dan meleburkan jati diri bangsa bukanlah pilihan yang terbaik. Konflik akan berlanjutan dan melebar.

Penyatuan agama tidaklah bermakna menyamakan kedudukan semua agama di atas tahap yang sama sementelahan kedudukan Islam yang sudah diletakkan sebagai agama Persekutuan, namun ruang pengamalan agama lain di Malaysia memungkinkan persamaan umum yang terdapat di dalam setiap kepercayaan untuk membentuk ruang beragama dan bernegara di bawah langit toleransi, kesederhanaan, setiakawan dan perpaduan.

Hakikat bahawa setiap agama memusuhi tindakan yang melampau dan ganas adalah sumber terbaik bagi masyarakat beragama di negara ini.

Peranan bahasa sebagai citra yang menggambarkan pandangan alam penuturnya, tidak kurang pentingnya.

Bahasa adalah wahana kepada warga bagi menzahirkan hasrat bernegaranya. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bangsa kebangsaan, memerlukan keazaman tinggi penutur aslinya untuk membolehkan ia digunakan secara meluas dan berkesan.

Meyakini bangsa kebangsaan dan memposisikannya di arus perdana dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, komunikasi dan media, agama dan budaya membolehkannya berkembang dengan kuat dan matang bagi mendukung aspirasi besar negara.

Bahasa Melayu wajar menjadi lidah yang bercakap bagi pemimpin dan rakyat untuk menzahirkan hasrat denyut hati negara ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Memahami budaya sebagai sebuah ciri khas sesebuah masyarakat amat mustahak. Dengan renungan tersediri terhadap alam dan suasana sekelilingnya, sesebuah masyarakat mencirikan budayanya.

Khazanah kemajmukan budaya di Malaysia adalah kekayaan yang perlu diakui. Pengekalan budaya yang tidak terpisah daripada identiti rakyat asal di rantau ini secara umum, perlu dipertahankan.

Keaslian budaya akan menjadi benteng kukuh daripada penghakisan keperibadian masyarakat berhadapan kegugatan dalaman mahupun luaran yang ganjil.

Rempuhan yang mampu menghilangkan keaslian budaya adalah malapetaka besar menanti khazanah budaya.

Justeru, budaya yang bersifat cekal dan luhur adalah ciri-ciri budaya yang utuh dan teguh.

Hal ini tidak menafikan nilai dan budaya luar perlu ditolak sepenuhnya, bahkan terlebih dahulu perlu disaring dan dihalusi bagi mengekalkan wajah asli sebuah budaya dan peradaban yang terangkum di seluruh penjuru Malaysia. 

Secara pasti, kewujudan Malaysia tidaklah bermula dari vakum.

Berdasarkan catatan sejarah, suatu konsep asal sudah pun ada sejak sebelum pembentukan negara ini, bahkan bagi meneruskan langkah besar seterusnya, semua warga perlu memperakui dan meneliti hal ini bagi memastikan simpulan asas pembentukan negara ini sentiasa kemas dan rapi.

- Artikel ini tersiar di The Malaysian Insider pada 22 Jun 2014

Friday, January 31, 2014


Wednesday, January 29, 2014

Benar & Betul


Sunday, January 5, 2014

Muhammad dan Charlemagne : Mohammad Natsir

Muhammad dan Charlemagne
Mohammad Natsir

Di tengah bermacam-macam tuduhan dan celaan yang dilemparkan oleh mereka yang sontok pikiran dan ta’ashub agama terhadap Islam dan Rasulnya Sayidina Muhammad Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam, terdengarlah suatu suara dari kalangan yang sesungguhnya tidak disangka-sangka, yang amat berlainan, boleh dikatakan berlawanan sangat dengan apa yang sudah biasa didengarkan oleh kaum Muslimin dari kalangan Nasrani dan “netral agama” selama ini. Suara itu bukanlah satu suara yang terbit dari hati yang khizid dan dengki, bukan pula terpengaruh oleh salah satu keta’ashuban agama, melainkan terbit dari satu penyelidikan dan pemeriksaan yang lama, teliti dan adil serta dengan keberanian menentang dan membongkar apa-apa yang selama ini dianggap orang banyak sebagai satu kebenaran yang berdasar kepada ilmu pengetahuan yang tidak perlu dibanding lagi.

Ialah suara yang diserukan oleh seorang yang berhak menamakan dirinya ahli, dan memang diakui demikian, yakni Prof. Henti Pirenne bekas Profesor pada universitas di Gent, anggota dari “l’Academie Royale de Belgique”, dalam kitabnya “l’Mahomet et Charlemagne”.

Dengan membawakan alasan riwayat yang lengkap, didorong pula oleh keberanian mengemukakan kebenaran, Prof. Pirenne memperbandingkan dua orang pahlawan yang meninggalkan bekas dalam riwayat dunia, yakni: Muhammad saw dan Charlemagne.

Permulaan Zaman Pertengahan

Adapun yang menjadi pokok perbincangannya ialah masalah: Permulaan Zaman Tengah”. Sebagaimana kita ketahui, umum orang menganggap bahwa permulaan “Zaman-Tengah” ialah di waktu Kerajaan Roma Barat jatuh kedalam tangan bangsa Jerman pada akhir abad ke-5. Ijma’ semua ulama tarikh tentang ini, pun begitu juga yang kita pelajari dibangku sekolah.

Paham inilah yang dibongkar oleh Henri Pirenne, Dimulainya menjawab pertanyaan: Apakah sebenarnya yang menjadi ukuran untuk menentukan batasnya Zaman Purbakala dengan Zaman-Tengah? Dibentangkannya dengan jelas bahwa jatuhnya kerajaan Roma Barat ke tangan bangsa Jerman tidaklah membawa perubahan-perubahan besar. Betul kepala-kepala dari bangsa Jermania telah menduduki singgasana raja-raja Romawi, akan tetapi sekedar pertukaran orang yang duduk itulah hanya perubahan yang datang. Perekonomian, perdagangan, peradaban, kesenian dan keagamaan tetap sebagaimana sediakala.

Dengan amat tepat Prof. Pirenne memperbandingkan kedatangan bangsa Jermania dengan kedatangan bangsa Arab. Setelahnya bangsa Jermania dapat menduduki singgasana Romawi, dan setelah semua perkelahian dan peperangan dihabisi, maka bangsa yang mendapat kemenangan itu bertukar sifat dan peradabannya dengan sifat dan peradaban bangsa yang ditaklukkan, dan mereka hilanglah berangsur-angsur seolah-olah dihisap oleh masyarakat Romawi untuk meneruskan peradaban Romawi lama itu.

“Le Germain se romanise des qu’il entre dans la Romania. Le Romain au contraire s’arabise des qu’il est coquis par l’Islam”, “Orang Jermania jadi Romawi setelahnya dia masuk kenegeri Roma, sebaliknya orang Romawi menjadi ke-Araban setelahnya dia ditaklukkan Islam”.

Demikianlah perbandingan pendek tetapi tepat sekali; yang diberikan oleh ahli riwayat tersebut antara kedua sifat penaklukan ini.

“Dengan masuknya Agama Islam, timbullah satu dunia yang baru disekitar Laut Tengah, yang tadinya berpusat kekota Roma sebagai sumber peradaban dan kebudayaan. Sampai kemasa kita sekarang ini, – demikian Pirenne meneruskan keterangannya – , masih ada perpecahan dengan masuknya Islam ke Eropa Selatan ini. Semenjak itulah laut tengah menjadi pertemuan dari dua kebudayaan yang berlainan dan bertentangan, sebagai pertemua dua barisan laskar peperangan dibarisan depan.”

“Lautan Tengah ynag tadinya menjadi “hoofdkwartier” dari keagamaan dan peradaban Barat, semenjak itu menjadi “front” digelanggang perjuangan. Dengan kedatangan Islam, pecahlah benteng yang kokoh selama ini.”[1]

Benteng Agama dan Keimanan

Ada satu hal lagi yang harus mendapat penyelidikan lebih jauh dalam hal ini. Bangsa Jermania yang menyerbu ke Romawi itu, yang bilangannya lebih besar dari orang Islam yang menyerbu nantinya, tidak dapat menaklukkan ruhani bangsa R$omawi itu, walaupun kekuatan jasad dan kekuatan material lain-lain ketika itu ada ditangan Bangsa Jermania itu. Malah sebaliknya bangsa Jermania itulah yang ditelan oleh bangsan yang ditaklukkan itu, seperti diterangkan diatas.

Kenapakah bangsa Arab yang membawa Agama Islam tidak demikian halnya setelah berhadapan dengan bangsa Romawi itu? Hanya satu jawabnya pertanyaan ini, yakni: Orang Jermania masuk dengan senjata pedang dan kekerasan jasad semata-mata, sedang orang Islam masuk dengan senjata jasmani yang didampingi oleh senjata rohani.

Bagi orang Islam bilamana jihad jasmani telah selesai dan semua senjata telah diletakkan, disana dimulainyalah jihad ruhani yang mempunyai taktik strategi, cara-cara dan senjata yang tersendiri pula.

Maka akan kalahlah satu kaum yang tidak atau lemah “senjata ruhani”nya ini, walau mereka telah duduk diatas singgasana kekuasaan sekalipun.

“Oleh bangsa Jermania tidaklah ada satu senjata apapun yang dapat dimajukannya penangkis Agama Kristen Romawi, tetapi bangsa Arab mempunyai kekuatan semangat yang berkobar-kobar dari satu keimanan yang Baru.”[2]

Senjata ruhani inilah yang menyebabkan kita orang Timur, yang walaupun bagaimana hebatnya ditindas oleh bangsa Barat, tapi tetap tidak dapat dihancur leburkannya kebudayaan dan peradaban kita oleh orang Barat itu sampai sekarang.

Tetapi orang Baratpun sekarang mempunya kedua macam senjata itu pula, yakni senjata jasmani dan senjata ruhani yang berupa agama. Maka akan lebih-lebih hancur leburlah satu bangsa apabila disamping mereka tidak mempunyai kekuatan jasad, sudah hilang pula senjata ruhani yang ada didalam dada mereka, sebagaimana orang Jermania hancur lebur ditelan kebudayaan Romawi dalam riwayat itu.

Charlemagne

Dimanakah terletaknya kebesaran Charlemagne itu? Tak lain ialah lantaran Raja yang besar ini mahfum bahwa senjata ruhani tak dapat ditaklukkan dengan pedang terhunus, akan tetapi harus dilawan dengan senjata ruhani pula. Maka dikerahkannyalah laskarnya menahan serangan Islam, tidak saja dengan  menghadapi tentara Islam dimedan perang tetapi juga dengan menyusun organisasi pengkristenan yang teratur. Didirikannya pendidikan-pendidikan Kristen, diperintahkannya rakyatnya memeluk Agama Kristen dengan selekasnya, malah kalau perlu dengan paksa!

Sejak itulah baru boleh disebutkan ada perubahan besar di Dunia Barat, dan disaat itulah mulainya Zaman Tengah, – demikian pendapat Prof. Henri Pirenne. Ditutupnya pemandangannya tentang ini dengan: “ Il est donc rigoureusement vraire de dire que sans Mahomet Charlemagne est inconceivable”. “Oleh karena itu adalah satu kebenaran, yang tak dapat dibantah lagi bahwasanya kalau sekiranya tak ada Muhammad, tak dapatlah dibayangkan akan adanya Charlesmagne…!”.

Agak berlainan terdengarnya pendapat yang berdasarkan penyelidikan yang jujur dan penuh keberanian yang dikemukakan oleh seorang ahli tarikh seperti Henri Pirenne ini, dari suara-suara yang kerap kali terdengar oleh kita dari pihak-pihak muarrikh selama ini.

NOVEMBER 1938.

[1]Mohamet et Charlesmagne pag. 132
[2] Ibid, pag.130

Sumber:http://www.hasanalbanna.com/muhammad-dan-charlemagne/

Timur & Barat dalam kaca mata Natsir


Friday, January 3, 2014

Berulangnya kisah Firaun dan Bani Israel menandakan....


Thursday, January 2, 2014

Pertikan dari puisi HAMKA , 'Di Atas Runtuhan Melaka Lama'

Berapa pula penjual negeri

Mengharap emas perak bertimba

Untuk keuntungan diri sendiri

Biarlah bangsa menjadi hamba


Ini sebebnya umatkan jatuh

Baik dahulu atau sekarang

Inilah sebabnya kaki lumpuh

Menjadi budak belian orang


Sakitnya bangsa bukan di luar

Tetapi terhujum di dalam nyawa

Walau dinobat walau ditawar

Semangat hancur apalah daya


Janjian Tuhan sudahlah tajalli

Mulailah umat yang teguh iman

Allah tak pernah mungkirkan janji

Tarikh periwayat jadi pedoman


Tidaklah Allah mengubah untung

Suatu kaum dalam dunia

Jika hanya duduk termenung

Berpeluk lutut berputus asa


Malang dan mujur nasibnya bangsa

Turun dan naik silih berganti

Terhenyak lemah; naik perkasa

Bergantung atas usaha sendiri


Riwayat yang lama tutuplah sudah

Apakah guna lama terharu

Baik berhenti bermenung gundah

Sekarang buka lembaran baru


Habis sudah madahnya puteri

Ia pun ghaib khayal pun hilang

Tinggal penyair seorang diri

Dihadapan cahaya jelas membentang


Pantai Melaka klulihat riang

Nampaklah ombak kejar mengejar

Bangunlah Tuan belahan sayang

Seluruh Timur sudahlah sedar


Bercermin pada sejarah moyang

Kita sekarang mengubah nasib

Di zaman susah atau pun riang

Tolongan tetap dari yang Ghaib


Bangunlah kasih umat Melayu

Belahan asal satu turunan

Bercampur darah dari dahulu

Persamaan nasib jadi kenangan


Semangat yang lemah dibuang jauh

Jiwa yang kecil kita besarkan

Yakin percaya, iman pun teguh

Zaman hadapan, penuh harapan


Bukanlah kecil golonganmu tuan

Tujuh puluh juta Indonesia

Bukan sedikit kita berteman

Sudahlah bangun bumi Asia


Kutarik nafas, kukumpul ingatan

Aku pun tegak dari renungku

jalan yang jauh aku teruskan

Melukis riwayat safhat hidupku


Kota Melaka tinggallah sayang

Beta nak balik ke PulauPerca

Walau terpisah engkau sekarang

Lambat launnya kembali pula

Walaupun luas watang terbentang

Danau Maninjau terkenang jua


DI ATAS RUNTUHAN MELAKA LAMA

HAMKA