Saturday, August 3, 2013

Kenapa 'buka' 'puasa' ?

Ahmad 'Afif Zuhdi
Bersama rakan-rakan berbincang soal penggunaan kalimah dalam Bahasa Melayu dalam menta'rifkan kalimah iftar; buka puasa. Iftar dirujuk kepada suatu masa khas bagi peralihan antara dua titik waktu, antara berakhirnya waktu berlapar dan bermulanya waktu makan yang diizinkan.

Perbincangan dilanjutkan kepada soal mengapa kalimah 'buka' dipadankan 'puasa' sebagai terjemahan popluar kepada iftar dan menjadi satu-satunya terjemahan tunggal kepada kalimah iftar dalam Bahasa Melayu (pada pendapat kami tiada kalimah lain yang digunakan secara meluas selain buka puasa, bersekali dengan imbuhannya seperti ber-buka dan selainnya).

Kalimah 'buka' jika difahami dalam rangka 'untuk masuk' adalah kata yang dijalinkan dengan penuh adab dan ketertiban berbanding pecah masuk, rompak, serbu, rempuh dan ceroboh. 'Buka' juga bersangkutan terus untuk sebuah upaya dan usaha untuk mencapai tujuan akhir yang dihajati.

Kalimah 'buka' dalam pengertian 'membuka sesuatu yang tertutup' adalah rantaian kata murni berbanding tanggal, cabut, londeh, selongkar, selerak. Sesudah membuka yang tertutup, terhijab, seterusnya pembukaan ini melorongkannya kepada jalan tepat dan benar dengan menjadikannya dapat diketahui, agar dibimbing untuk beroleh akibat di hujung perjalanan.

Perkataan 'buka' juga adalah lambang kesukarelaan, tindakan yang dilakukan dengan penuh dengan kesedaran dan pertanggungjawaban yang dipikulnya, bukan keterpaksaan dan keterikatan yang tidak direlakan (hati terbuka).

Bersabda Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, ketika bertemu Allah."

Hadith ini hadir dalam bentuk pembuktian yang amat kukuh bahawa, 'buka' amat terkait rapat dengan kata kunci lain; 'adab, kesedaran, pertanggungjawaban, usaha, benar dan pengakhiran'

Maka kami membuat kesimpulan, 'buka puasa' memberi makna kelakuan pelakunya dengan penuh kesedaran akan titik peralihan masa yang mengizinkannya mengakhiri puasa pada waktunya dengan penuh adab menuju kebahagiaan hakiki pada Tuhan di hujung perjalanan.

Wallahua'lam

Ramadhan dalam Ogos, Ogos dalam Ramadhan

Ahmad 'Afif Zuhdi
Apa pengajaran Tuhan kepada umat Malaysia apabila melalukan Ogos dalam Ramadhan dan vice versa sejak dua musim lalu

Objektif Ramadhan adalah taqwa seperti yang diperakui Al-Quran, manakala Ogos mengheret ma'na kemerdekaan di dalamnya. Di manakah titik temu Ramadhan-Ogos , ketaqwaan-kemerdekaan?

Muttaqin adalah kelompok manusia yang god-conscious, mewaspadai kehadiran Tuhan dan merasa aman dalam lindungan Tuhan, sehingga melayakkan ia bebas dari kekangan bertindak, menilai, berfikir, di bawah pengaruh makhluk yang berkecenderungan untuk meletakkan tekanan yang tidak 'adil sesama makhluk .

Hamba yang memberi kebebasan dan kemerdekaan kepada Tuhan, adalah hamba yang progresif, aktif dan berjiwa merdeka. Tindakannya hanyalah untuk diperakukan di sisi Tuhan, pemikirannya dikosongkan untuk limpahan Nur Tuhan, dan hanya Tuhan sahaja yang layak memberi penilaian kepadanya.

Pesan HAMKA,' Orang yang berjiwa merdeka, tidak gentar menghadapi tanggungjawab. Dan kemerdekaan jiwa yang disertai dengan kemerdekaan budi, tidak dapat dibeli dengan harta-benda dan kedudukan yang tinggi'

Jumaat dalam Ramadhan, kita dipesan dua kali taqwa


Ahmad 'Afif Zuhdi
Benar, ada indahnya pada bulan yang dikeranakan misi taqwa, Muslimin diingatkan sekali lagi lewat khutbah, agar menyegarkan tuntutan taqwa.

Jika kita menghayati ayat Quran yang kerap dipetik sang khatib ayat 102 Ali Imran itu (rujuk Ali Imran 102-115) , pertalian taqwa disarankan Al Quran untuk menjadi asas kepada pembentukan masyrakat Muslim yang utuh, kuat dan berdaya saing. Taqwa dianjur menjadi tali pengikat, tali pengikat istimewa daripada Allah kepada seluruh komuniti sehingga melahirkan sebuah kelompok yang begitu peduli dan menginsafi keperluan dan kepincangan ummat. Misi suci ini diikat pada frasa agung 'amar ma' ruf nahi munkar'

Misi agung ini pabila terlaksana, mengangkat martabat mulia umat diiktiraf 'khaira ummah'. Iktiraf ini sebegitu berharga hinggakan Saidina Umar r. a mengekslusifkan gelar ini pada zaman Sahabi sahaja, menyedari bahawa pundakan 'amar makruf nahi mungkar' dilaksana penuh sukses oleh mereka.

'Khaira ummah' adalah sebuah simbol umat yang bertamadun, bermaruah , punya harga diri tinggi hinggakan berjaya melenyapkan gugatan, kekeliruan, kepincangan yang ditimbulkan oleh Ahlul Kitab.

Dilondehkan segala tipu daya, muslihat jahat agar nantinya 'khaira ummah' berjaya tampil unggul sebagai masyarakat Muslim yang diberkahi di dunia dan akhirat nanti, wajah suci mereka akan tampil bercahaya, berada dalam rahmat, syurga abadi.

Bukankah di hujung Ramadhan kita diseru untuk meminta pelepasan dari neraka langsung memperoleh syurganya?

Wednesday, October 26, 2011

Sembilan Belas Tahun DPM (MAQAZ) Shoubra: Suatu Refleksi



“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai”  Ali Imran: 103

Sembilas belas tahun analoginya kepada umur manusia, berada pada dua persimpangan. Simpang pertama adalah usia yang mahu menginjak keluar dari umur keremajaan manakala simpang kedua mengajak masuk ke bumbung kepemudaan.

Sebagai refleksi kepada ulang tahun penubuhan DPM (MAQAZ) Shoubra pada 23 Oktober lepas 2011 yang ke 19, sebenarnya kita tiada salah mengibaratkan DPM (MAQAZ) Shoubra berada pada persimpangan yang sama.

Wadah kesatuan ini yang diasaskan sejak 1992 ini kini bakal memasuki era penting kematangannya. Pada usia ini bakal menuntut kebijakan yang lebih dari seorang remaja, ia perlu kelihatan bijaksana sebagai seorang pemuda.

Malah sebelum lagi ia bergelar pemuda jasa baktinya mampu mengatasi usia singkatnya. Kelihatan realisasi dari sepotong hadith Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w “Sebaik-baik insan yang luas manfaatnya pada yang lain"  jelas dekat dengan personaliti persatuan ini. Segala usaha kebaikan pada bidang pendidikan, dakwah, kebajikan, pengurusan dan lainya dilazimi bermula hari tubuhnya hingga detik ini. Namun di balik kerja-usaha yang serba mulia ini, ia nyata dicemburui bukan dengan niat baik. ‘Remaja’ ini telah cuba dicabar darah panasnya berkali-kali, tubuh keutuhannya mahu diroboh,  mujur barannya disirami dengan baja taqwa dan sabar dan beruntung juga ia punya daya tahan yang kuat, ia terus mampu melangkah dengan tegap, semuanya dengan hidayah dan taufiq-Nya.  Maka melangkah ke usia kepemudaan apa keperluan jangka masa dekat dan panjang yang perlu dilengkapi padanya ?

Sebagai sebuah badan kepemudaan Islam,batang tubuh DPM (MAQAZ) Shoubra perlu kekuatan yang gagah yang mampu memenuhi kapasiti tugasan pemuda, lebih dari yang vaksin yang biasa, perlu cari yang luar biasa. Ditambah dengan ruang intelektual  mahasiswa yang cukup dinamis,  ketajaman idea-idea segar menjadi signifikan, yang tidak terlalu kebudak-budakan yang tidak juga dlihat tua-kaku.

Maka, di balik lontaran-lontaran tuntutan dan keperluan yang perlu dilengkapkan, timbul pula soalan. Siapa pula yang harus dipertanggungjawabkan bagi menerapkan segala ini ? Mungkin pantas, jari akan dituju tepat pada pimpinan tertinggi DPM (MAQAZ) Shoubra, lalu timbul suatu lagi soalan, pantaskah pimpinan memikul amanat berat secara berseorangan, tanpa sokongan ?  

Jawapan ini akan ada pada setiap dari kita. Samada kita akan bersama menjadi tonggak yang menongkat  segala susah senangnya atau hanya berpuas hati menjadi tunggul yang berada di pinggiran,bercampur baur antara sokongan dan tentangan ?