Tuesday, May 24, 2011

Pendidikan untuk Hikmah: Keperluan untuk Reorientasi Lengkap


Berbicara tentang hati dan betapa pentingnya dalam pendidikan sebagai satu-satunya cara di baik tahap biasa kesedaran dan bagi mengenali fitrah kita, tidak dapat difahami oleh ahli sains moden dan tidak bersetuju dengan piawai dan norma biasa psikologi moden oleh kerana sains moden adalah terbatas kepada empiris dan hawa nafsu.

Bagi seseorang ahli sains dan psikolgi moden, hati adalah tidak lebih daripada sebuah organ dalam badan, yang mempunyai fungsi biologi tertentu; oleh itu nampaknya kenalah kita menerangkan melalui kata-kata Imam Ghazali, apa yang dimaksudkan oleh sarjana Islam tradisional tentang hati itu: Manakala kita memperkatakan tentang hati, ketahuilah bahawa apa yang kita maksudkan ialah kenyataan manusia, yang kadangkala dipanggil roh dan kadangkala nafsu (soul); tidaklah kita maksudkan sekeping daging yang terletak di sebelah kiri di dalam dada; organ tanpa nilai, kerana lembu pun mempunyainya, juga yang mati. Ia boleh dilihat dengan mata biasa, dan apa benda yang boleh dilihat dengan mata dipunyai oleh dunia, yang dipanggil dunia yang nampak (syahadah). Hakikat hati bukanlah benda duniawi, ia telah muncul di dunia ini sebagai benda asing atau perantau, dan kepingan daging yang kelihatan itu adalah kenderaan dan perantaranya, dan kesemua bahagian badan adalah tenteranya, dan dialah Raja keseluruhan badan; realisasi tentang Tuhan dan persepi kecantikanNya ialah fungsinya.

Pendidikan adalah sebahagian penting kehidupan dan begitu jugalah falsafah dan ilmu dan ini semua adalah berhubungkait antara satu sama lain. Hubungkait antara falsafah, ilmu, pendidikan adalah teramat penting dalam mana-mana kebudayaan tradisional oleh kerana penyempurnaan kebenaran Terakhir atau hakikat Mutlak berlaku melalui lorong latihan kerohanian. Wahyu atau doktrin ketuhanan yang sedia wujud biasanya memberikan asas teori, yang memperihalkan struktur kebenaran dan struktur kesedaran manusia, martabat ontologi dunia dan semua makhluk, termasuk manusia dan memperihalkan cara dalam mana kebenaran ini dialami melalui latihan kerohanian.  

Oleh kerana ini, terdapatlah wujudnya perbezaan nyata antara falsafah tradisional dengan falsafah moden, dan kerananya antara falsafah tradisional pendidikan dengan yang moden. Oleh kerana realisisasi kebenaran melalui latihan kerohanian adalah terbuka potensinya kepada tiap-tiap seorang, firman Tuhan meresapi seluruh kebudayaan, dan oleh yang demikian tidak ada lagi ruang untuk sebarang jenis skeptisme atau agnotisisme. Dan oleh kerana itu kebenaran, kesatuan dan harmoni terbit dalam kehidupan. Nilai mempunayi hiraki nyata, kelakuan adalah terstruktur, dan kestabilan terbit di babak kehidupan sosial. Kestabilan ini dan juga kesatuan dalam suatu kebudayaan tradisional dengan tidak syak lagi adalah bersifat samawi, tanpa masuk campur Tuahn dalam kehidupan kita di dunia, kesatuan (dengan mana kita tidak maksudkan keseragaman) tidak akan timbul dalam kehidupan sosial, dan tidak mungkin kestabilan kekal berabad-abad, seperti yang terdapat dalam tamadun Islam. Jikalau sebarang contoh difikirkan perlu, bolehlah kita bandingkan tamadun manusia moden zaman kita dengan tamadun tradisional yang wujud terdahulu daripada renaissance Eropah.

Manusia moden yang berminat dengan perubahan luar yang bersifat sosial, politik dan ekonomi, mengalami bentuk dan struktur penempatannya, bandar, negeri dan dunia seperti sentiasa berubah- proses ini pada masa sekarang diistilahkan sebagai pembangunan dan kemajuan. Walaupun begitu perubahan dalam masyarakat tradisional adalah tertuju ke arah dunia dalam manusia, dan tiada siapa pun terkecuali daripada perubahan ini kecuali mereka yang menurut Al Quran, ertinya: 

mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya, mereka mempunyai penglihatan, tetapi tidak melihat dengannya, mereka mempunyai pendengaran, namun mereka tidak mendengar dengannya. Mereka seperti an'am (haiwan ternakan), tidak persis mereka tersesat lebih jauh. Mereka adalah golongan yang lalai

Perubahan dalaman ini menuju ke taraf al-insan al-kamil dalam pendidikan Islam. Oleh yang demikian pendidikan ini dikenali dengan satu cara yang mempunyai permulaan tetapi tidak mempunyai kesudahan, oleh kerana permulaan cara ini ialah keadaan manusia sebagai makhluk bumi, dengan itu terbatas dan terhad, tetapi kesudahannya ialah manusia sempurna, Khalifah Allah; inilah keadaan manusia primordial (asal), dan oleh kerana keadaan ini dikenali dengan kesedaran tentang Wahdat al Wujud (Kesatuan Wujud), dan dengan itu hakikat adalah mutlak, kesudahan jalan ini adalah tenggelam dalam infinite 

- Krisis Pendidikan Islam, 1989, DBP

Sunday, March 13, 2011

SUATU PENILAIAN KEPADA TINDAK BALAS KEJADIAN GEMPA BUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN


MUQADDIMAH

Firman Allah Taala :
 Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak) dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayat petunjuk selama-lamanya.
(Al Kahfi:57 )



Bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun dan beberapa negara lain meneruskan rentetan kepada ketidakstabilan bumi ini setelah mana dunia dengan penuh perhatian menyaksikan pergolakan politik Timur Tengah menumbang pemerintahan autokratik-diktator pemerintah negara masing-masing. Kini, dunia memusatkan fokusnya kepada negara Matahari Terbit, Jepun dengan menyedari bukan hanya manusia sahaja mampu melakukan revolusi menuntut perubahan, malah bumi, tempat diamnya kita juga pantas melalukan perkara sama dengan gelombang yang jauh lebih besar meminta penghuninya juga memenuhi tuntuntannya.

Tulisan ini tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan peranan dan sumbangan kemajuan teknologi dalam kehidupan manusia semasa, juga tidak bermatlamat untuk menunjukkan rasa kurang hormat kepada seluruh makhluk kejadian yang terlibat dalam bencana yang mengakibatkan kemusnahan fizikal, mental, dan lain-lain samada secara langsung mahupun tidak. Sebagai mahkuk Tuhan yang dikarunia anugerah akal dan perasaan bagi meneliti dan memahami, merasai dan menghayati segala kejadian yang berlaku di langit dan bumi sebagai bukti kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa, bencana ini menuntut kita menambah keimanan dan keyakinan kepada Maha Pencipta untuk melakukan segala sesuatu berdasarkan kehendakNya.

Namun dalam adunan antara rasa sedih dan kagum - sedih dek kemusnahan yang berlaku dan kagum menginsafi kekuatan kerajaan Allah Taala - perlu bagi kita menilai kembali segala corak dan bentuk tindak balas yang dikenakan kepada kejadian ini berdasarkan segala petunjuk, analisis dan kajian yang telah dipacu oleh bidang kemajuan teknologi semasa berpandukan kepada segala nilai dan prinsip yang telah dibawa oleh sains moden. Sains moden merupakan suatu pemahaman yang bertanggungjawab membentuk segala cabang-cabang pengkajian terhadap dunia ini dan perjalanannya menurut pemahamannya secara bersendirian.

Menurut Huston Smith, dunia barat moden merupakan dunia yang mula-mula sekali berpendapat bahawa alam fizikal ini merupakan satu sistem yang tertutup. Ia memutuskan segala hubung kait dengan pemahaman spiritual dan kuasa ketuhanan dan lalu mewujudkan pemahaman secara sehala dan selapis. Ia juga menetapkan dalam displinnya, segala sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh akal dan deria, ditolak dan dipinggirkan dalam bidang kajiannya.

Oleh itu, penilaian semula kepada daya balas terhadap bencana ini akan dikemukan melalui tulisan seorang tokoh pemikir Islam, Said Nursi yang menawarkan analisis secara holistik menurut pandangan hidup Islam yang secara tegas mengiktiraf kewujudan dan campur tangan Tuhan dalam semua corak kejadian yang berlaku di segenap tingkat penciptaan.

Mengenai segala pandangan yang bersifat sehala dan selapis seperti yang dikemukan oleh sains moden, sedemikan banyak maklumat ini boleh didapati pada lambakan tulisan dunia barat moden. Penulis tidak berhasrat untuk mengemukakan di sini. 

bersambung ke bahagian kedua.. 

Monday, February 28, 2011

Penaklukan Alam dan Ajaran Sains Timur


Umpamanya, tidak boleh dinafikan bahawa dengan penggunaan yang dikenali sebagai sains moden dalam bentuk projek-projek kejuruteraan dan seni bina, manusia moden biasanya menghasilkan rupa bentuk yang buruk, sementara yang menggunakan yang dikenali sebagai "sains palsu" itu tentang geografi suci dan "geomancy", orang-orang China dan Jepun atau orang-orang Parsi dan Arab telah menghasilkang bangunan, taman dan seni bina reka bentuk tanah yang begitu indah dan mungkin dapat diakui nilainya oleh manusia tradisional tetapi juga mungkin oleh manusia moden sendiri  
- SH Nasr, Masalah Ekologi Menurut Tasawuf

Thursday, February 24, 2011

Beberapa Tafsiran HAMKA


Dengan takdir kekuasaan Allah Taala, raja segala raja, dunia memerhatikan dengan penuh minat ledakan domino yang menjatukan satu persatu penguasa Timur Tengah bermula Tunisia dan Libya menunggu masanya. Firman Allah Taala dalam Ali Imran ayat 26 adalah peringatan terbaik kepada semua pengemban amanah bermula sang pentadbir negara hingga serendah-rendah penguasa :

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu



Berikut dititipkan tafsiran Buya Hamka (1908-1981) secara ringkas, pada ayat ini seperti yang didapati pada Tafsir Al-Azhar, ulama' nusantara yang bukan sahaja disantuni pada gugusannya sahaja malah kekal dihormati seluruh dunia.
  1. Nabi Muhammad s.a.w. diutus Tuhan menjadi Rasul. Pokoknya ialah mengajarkan kepercayaan kepada Tuhan, tetapi hasilnya ialah sesuatu kekuasaan, suatu pemerintahan yang mempunyai wibawa dan kemegahan.
  2. Nabi kita s.a.w bukanlah berjuang untuk mencari sesuatu kekuasaan, atau untuk mencapai jabatan tertinggi sebagai kepala negara.Sekali-kali dia tidak mengingat itu. Yang ditujunya adalah kebesaran agama, tegaknya syiar Allah dan keluarnya manusia dari  gelap gulita syirik kepada terang benderang iman. Tetapi, meski beliau tidak menuju kekuasaan, namun kekuasaan pun tercapai.Akhirnya kekuasaan bukanlah tujuan, tetapi menjadi alat buat melancarkan agama. Demikian telah ditakdirkan oleh Allah !
  3. Kalau kita ukur secara sekarang, beliau datang membawa satu idelogi, yaitu Islam. Kemudian dengan sendirinya terbentuk kekuasaan di Madinah. Bukan terlebih dahulu beliau mengejar sesuatu kekuasaan, lalu kemudian disusun ideloginya.
  4.  Tidak ada darah bangsawan di dunia yang berketurunan yang lain dari Adam, atau dari bukan dari asal usul manusia. Timbulnya kekuasaan hanyalah pinjaman sementara dari Allah.
  5. Pangkat dan kemuliaan yang diberikan Allah lain coraknya daripada istilah-istilah yang diperbuat manusia. Izzah ertinya kemuliaan dan dzillah ertinya kehinaan. Izzah juga bisa diertikan gengsi, prestige, atau wibawa. Sinarnya tidak akan dapat ditutup walaupun oleh kemiskinan ! Dzillah bisa juga diertikan jiwa rendah, yang tidak dapat disembunyikan walaupun disalut emas.
  6. Di dalam menafsirkan al-mulku yang beerti kekuasaan itu, Ibnu Abbas telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan al-mulku itu ialah nubuwwah, yaitu kenabian. Penafsiran ini dapatlah kita renungkan. Sebab al-mulku yang timbul dalam an-nubuwwah jauhlah lebih kekal daripada al-mulku yang didapat dalam gejala perebutan politik dan kekuasaan, seorang raja naik, seorang raja jatuh dan seorang merampas kekuasaan.
  7. Kekuasaan Nubuwwat itu adalah atas jiwa. Kekuasaan besar inilah yang diberikan Allah kepada para Rasul dan para Nabi, sehingga walaupun nabi-nabi itu tiada lagi, namun kekuasaan mereka masih hidup terus-menerus.Berapa banyak kerajaan yang berkuasa di dalam dunia ini, mereka tidak merasa kuat berdiri kalau mereka tidak menyatakan menyandarkan kekuasaan itu kepada sejarah nabi-nabi.
  8. Kekuasaan Nubuwwah adalah kekuasaan atas rohani. Sedang kekuasaan duniawi adalah pada lahir. Kekuasaan Nubuwwat menimbulkan rasa takut pada manusia akan berbuat jahat, sebab ada hukum yang akan diterimanya dari Tuhan, sebagaimana yang diajarkan oleh nabi-nabi.
  9. Membaca ayat yang tengah kita tafsirkan ini, kita mendapat dua kesan. Al-Mulku atau kekuasaan, baik secara kerajaan dunia ataupun kerajaan Nubuwwat diberikan oleh Allah kepada barangsiapa yang dikehendaki-Nya. Kekuasaan dunia bisa diberikan dan bisa dicabut. Tetapi kekuasaan Nubuwwat yang diberikan kepada Abiya' dan Mursalin, tidak pernah dicabut. Bahkan setelah mereka mati, kekuasaan rohani yang mereka tinggalkan tetap berjalan. Dan Tuhan bisa memuliakan seseorang, walaupun dia bukan raja atau kepala negara.