Sunday, March 13, 2011

SUATU PENILAIAN KEPADA TINDAK BALAS KEJADIAN GEMPA BUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN


MUQADDIMAH

Firman Allah Taala :
 Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu dia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak) dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayat petunjuk selama-lamanya.
(Al Kahfi:57 )



Bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun dan beberapa negara lain meneruskan rentetan kepada ketidakstabilan bumi ini setelah mana dunia dengan penuh perhatian menyaksikan pergolakan politik Timur Tengah menumbang pemerintahan autokratik-diktator pemerintah negara masing-masing. Kini, dunia memusatkan fokusnya kepada negara Matahari Terbit, Jepun dengan menyedari bukan hanya manusia sahaja mampu melakukan revolusi menuntut perubahan, malah bumi, tempat diamnya kita juga pantas melalukan perkara sama dengan gelombang yang jauh lebih besar meminta penghuninya juga memenuhi tuntuntannya.

Tulisan ini tidaklah bermaksud untuk memperkecilkan peranan dan sumbangan kemajuan teknologi dalam kehidupan manusia semasa, juga tidak bermatlamat untuk menunjukkan rasa kurang hormat kepada seluruh makhluk kejadian yang terlibat dalam bencana yang mengakibatkan kemusnahan fizikal, mental, dan lain-lain samada secara langsung mahupun tidak. Sebagai mahkuk Tuhan yang dikarunia anugerah akal dan perasaan bagi meneliti dan memahami, merasai dan menghayati segala kejadian yang berlaku di langit dan bumi sebagai bukti kekuasaan Allah Yang Maha Berkuasa, bencana ini menuntut kita menambah keimanan dan keyakinan kepada Maha Pencipta untuk melakukan segala sesuatu berdasarkan kehendakNya.

Namun dalam adunan antara rasa sedih dan kagum - sedih dek kemusnahan yang berlaku dan kagum menginsafi kekuatan kerajaan Allah Taala - perlu bagi kita menilai kembali segala corak dan bentuk tindak balas yang dikenakan kepada kejadian ini berdasarkan segala petunjuk, analisis dan kajian yang telah dipacu oleh bidang kemajuan teknologi semasa berpandukan kepada segala nilai dan prinsip yang telah dibawa oleh sains moden. Sains moden merupakan suatu pemahaman yang bertanggungjawab membentuk segala cabang-cabang pengkajian terhadap dunia ini dan perjalanannya menurut pemahamannya secara bersendirian.

Menurut Huston Smith, dunia barat moden merupakan dunia yang mula-mula sekali berpendapat bahawa alam fizikal ini merupakan satu sistem yang tertutup. Ia memutuskan segala hubung kait dengan pemahaman spiritual dan kuasa ketuhanan dan lalu mewujudkan pemahaman secara sehala dan selapis. Ia juga menetapkan dalam displinnya, segala sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh akal dan deria, ditolak dan dipinggirkan dalam bidang kajiannya.

Oleh itu, penilaian semula kepada daya balas terhadap bencana ini akan dikemukan melalui tulisan seorang tokoh pemikir Islam, Said Nursi yang menawarkan analisis secara holistik menurut pandangan hidup Islam yang secara tegas mengiktiraf kewujudan dan campur tangan Tuhan dalam semua corak kejadian yang berlaku di segenap tingkat penciptaan.

Mengenai segala pandangan yang bersifat sehala dan selapis seperti yang dikemukan oleh sains moden, sedemikan banyak maklumat ini boleh didapati pada lambakan tulisan dunia barat moden. Penulis tidak berhasrat untuk mengemukakan di sini. 

bersambung ke bahagian kedua.. 

No comments: