SHOUBRA, 19 April - Kesyukuran yang tidak terhingga terpancar di wajah setiap mahasiswa tahun satu Maahad Qiraat Shuobra apabila mereka dibenarkan untuk menjalani ujian lisan (syafawi) di sana.
Desas-desus yang mengatakan bahawa ujian lisan bagi mahasiswa tersebut terpaksa ditangguhkan berakhir apabila Pengetua (Mudir) Maahad tersebut membenarkan mereka menjalani ujian walaupun dokumen pengajian mereka masih belum sampai kepada pihak pentadbiran maahad.
Ujar Pengerusi PMRAM Cawangan Shoubra, Saudara Mohd Naim bin Hassan "Kejadian seperti ini merupakan 'rukhsah' daripada pihak pengetua maahad. Kalau sebelum ini, agak sukar bagi mahasiswa Shoubra mengambil peperiksaan dalam keadaan nama masih belum dinaikkan di maahad". Mereka yang seramai 104 orang itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil PMRAM Pusat iaitu Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime bersama Timbalan Presiden Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman serta Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi sebagai wakil Badan Pengurus dari Shoubra yang turut hadir pada pagi tersebut demi memastikan semua mahasiswa tahun satu tidak mempunyai masalah untuk menjalani ujian lisan tersebut.
Presiden PMRAM berkata "Kejadian seperti ini bukan kali pertama yang dihadapi oleh mahasiswa Shoubra. Saya pun tidak pasti bagaimana urusan untuk kenaikan nama di Maahad Qiraat Shoubra yang dilakukan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Setiap tahun nama mahasiswa tahun satu di sini semakin lewat untuk proses kenaikan".
Keadaan yang sama juga berlaku bagi mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Mansurah. Sehingga kini nama mereka juga masih belum sampai pada pihak pentadbiran maahad di Mansurah.
Ujar Presiden lagi "Walaubagaimana sekalipun pihak PMRAM akan berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang. PMRAM berharap supaya semua ahli sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan
Sumber : PMRAM
Sunggupun diberi ruang rukhsah, hakikatnya jalan keluar dari masalah ini masih jenuh untuk dicari. Rukhsah ini adalah sebagai respon prihatin Mudir Maahad Qiraat Shoubra atas kelesuan pihak yang menguruskan kenaikan nama bagi pelajar Malaysia di sini.
Trafik kedatangan pelajar baru yang meningkat gandaan tinggi sejak beberapa tahun lepas, jelas tidak disokong sistem kemasukan yang jitu. Ibarat jemputan kenduri yang mengundang ribuan orang namun tenaga masak hanya seorang, kemudian jemputan disuruh bersabar menanti hidangan. Sedangkan si penganjur lebih dari mampu mengupah ratusan tenaga kerja bagi menyediakan makanan.
Usah palsukan genggaman harapan yang terbang ribuan batu hanya untuk dihampakan dengan kelesuan sistem ini. Sementara pendidikan menjadi instrumen penting pembentukan bangsa, usahlah baka-baka baru ini dibiarkan tersadai dalam perjalanan membentuk wibawa ini.
No comments:
Post a Comment