Showing posts with label penyaring. Show all posts
Showing posts with label penyaring. Show all posts

Monday, June 14, 2010

S.H.O.U.B.R.A

Jika mahu dibuat graf pengukur kepopularan Shoubra di mata rakyat Malaysia, tempoh ini adalah yang waktu puncaknya.


Banyak kejadian yang menyumbang ke arah peningkatan tahunya rakyat Malaysia akan wujudnya satu pusat pengajian yang dituntut oleh rakyat Malaysia di bumi Mesir, Shoubra.Tentunya tragedi 8 Mei akan menjadi punca utama peningkatan ini.


Bermula dari kesedaran tinggi warga Shoubra menuntut hak yag ternafi hinggalah terheret ke mata media media , Shoubra mampu juga untuk menjadi buah mulut ramai buat suatu ketika.


Namun, di balik kesadaran tinggi pelbagai pihak membela Shoubra, wujud beberapa versi yang digunakan untuk menanggapi kata nama Shoubra tersasar dari yang sebenar. Setelah beberapa penilitian dibuat saya menjumpai beberapa versi untuk merujuk kota ini.

Shoubra,Syoubro,Shubra,Syubro

Memasuki bidang penggunaan dan pengamalan kata nama khas, suka saya mengambil definisi paling ringkas "nama yang digunakan untuk merujuk sesuatu zat secara tepat dan teliti "

Frasa 'merujuk sesuatu zat secara tepat dan teliti' punya skop sasaran yang luas.




Aspek rujukan pertama untuk menyeluruhi pandangan terhadap sesuatu tempat, pengalaman dan pengamalan masyarakat setempat diambil kira bagi menetapkan pandangan adil untuk lokasi tersebut.


Ini penting kerana hanya penduduk setempat yang mampu untuk mengolah alam kelilingnya dengan baik berbanding orang asing. Walau tidak dinafikan, komuniti Melayu di Shoubra itupun hanya komuniti pelajar yang sifatnya tidak tetap dan berubah-ubah (bukan masyarakat pribumi yang kekal berketurunan mendiami Shoubra), namun sekurang-kurangnya pandangan golongan ini paling absah untuk dimabil kira kerna di balik kekurangan ini, kumpulan ini jugalah yang mampu untuk menjadi penduduk tegar di Shoubra biar hanya untuk tempoh yang singkat, baca: tiga tahun.


Maka, akar tradisi yang menjadi satu standard umum yang dipegang oleh komuniti Melayu untuk mencirikan kota ini adalah SHOUBRA. Kata nama ini juga bukan hanya menjadi satu standard umum malahan turut digunakan dalam urusan segala urusan rasmi yang melibatkan masyarakat pelajar di sini.




Pemilihan tiap aksara yang membentuk kalimah punya bebanan ma'na yang ditangung yang akan membentuk faham terhadap maksud yang dicita. Dalam bahasa ibunda, setiap aksara pada sesuatu kalimah punya fungsi kuat samada menambahi, mengurangi atau mengimbangi ma'na yang digalas.

Imbuhan -kan,meng-,pen-, dan selainnya membawa fungsi ini; menambahi, mengurangi atau mengimbangi pada kalimah yang disandarkan padanya.



Begitu tiap huruf yang dipadan antara satu sama lain untuk membentuk kata Shoubra juga diasaskan atas faham ini. Mungkin tiada satu penjalasan khusus untuk dikemukakan mengapa huruf tertentu atau susunan begitu dipilih untuk membentuk nama Shoubra, namun sebagai sebuah kota Arab untuk dimelayukan dan dijalinkangabungkan citranya secara sempurna, wujud juga cacat celanya.


Menjadi sesuatu identiti kepada mana-mana bahasa yang baik, sifatnya terus berkembang selari peredaran masa dan perkembangan semasa. Jika sesuatu bahasa terus degil dan tidak mahu tunduk kepada kehendak semasa, maka hitunglah hari-hari akhirnya.

Sunday, April 25, 2010

Shoubra, Gelapkah Masa Depan ? (1)

SHOUBRA, 19 April - Kesyukuran yang tidak terhingga terpancar di wajah setiap mahasiswa tahun satu Maahad Qiraat Shuobra apabila mereka dibenarkan untuk menjalani ujian lisan (syafawi) di sana.

Desas-desus yang mengatakan bahawa ujian lisan bagi mahasiswa tersebut terpaksa ditangguhkan berakhir apabila Pengetua (Mudir) Maahad tersebut membenarkan mereka menjalani ujian walaupun dokumen pengajian mereka masih belum sampai kepada pihak pentadbiran maahad.
Ujar Pengerusi PMRAM Cawangan Shoubra, Saudara Mohd Naim bin Hassan "Kejadian seperti ini merupakan 'rukhsah' daripada pihak pengetua maahad. Kalau sebelum ini, agak sukar bagi mahasiswa Shoubra mengambil peperiksaan dalam keadaan nama masih belum dinaikkan di maahad". Mereka yang seramai 104 orang itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil PMRAM Pusat iaitu Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime bersama Timbalan Presiden Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman serta Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi sebagai wakil Badan Pengurus dari Shoubra yang turut hadir pada pagi tersebut demi memastikan semua mahasiswa tahun satu tidak mempunyai masalah untuk menjalani ujian lisan tersebut.

Presiden PMRAM berkata "Kejadian seperti ini bukan kali pertama yang dihadapi oleh mahasiswa Shoubra. Saya pun tidak pasti bagaimana urusan untuk kenaikan nama di Maahad Qiraat Shoubra yang dilakukan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Setiap tahun nama mahasiswa tahun satu di sini semakin lewat untuk proses kenaikan".
Keadaan yang sama juga berlaku bagi mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Mansurah. Sehingga kini nama mereka juga masih belum sampai pada pihak pentadbiran maahad di Mansurah.
Ujar Presiden lagi "Walaubagaimana sekalipun pihak PMRAM akan berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang. PMRAM berharap supaya semua ahli sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan

Sumber : PMRAM 

Sunggupun diberi ruang rukhsah, hakikatnya jalan keluar dari masalah ini masih jenuh untuk dicari. Rukhsah ini adalah sebagai respon prihatin Mudir Maahad Qiraat Shoubra atas kelesuan pihak yang menguruskan kenaikan nama bagi pelajar Malaysia di sini.

Trafik kedatangan pelajar baru yang meningkat gandaan tinggi sejak beberapa tahun lepas, jelas tidak disokong sistem kemasukan yang jitu. Ibarat jemputan kenduri yang mengundang ribuan orang namun tenaga masak hanya seorang, kemudian jemputan disuruh bersabar menanti hidangan. Sedangkan si penganjur  lebih dari mampu mengupah ratusan tenaga kerja bagi menyediakan makanan.

Usah palsukan genggaman harapan yang terbang ribuan batu hanya untuk dihampakan dengan kelesuan sistem ini. Sementara pendidikan menjadi instrumen penting pembentukan bangsa, usahlah baka-baka baru ini dibiarkan tersadai dalam perjalanan membentuk wibawa ini.

Friday, April 23, 2010

Suara Shoubra, Intelek Iskandariah, Wacana Wilayah



Saya mengikuti penuh minat perbincangan ini dan ini. Tajuknya bagaimana novel KARIPAP - KARIPAP CINTA mampu masuk ke dalam carta bestseller MPH selepas satu bulan diterbitkan. Nyata antara salah satu faktor utamnya adalah kerana hasil kreativiti tinggi kulit depannya.


Peranan muka depan sesebuah buku amat penting sebagai daya pelaris sesebuah produk. Muka depan akan membentuk first impression berkesan kepada para konsumer.

Maka, sidang editor Suara Kampus Gabungan Taakhi bertekad menampilkan hasil terbaik untuk edisi ini. Kami sentiasa kepada percaya kepada prinsip customers are the heart of everything.


Lupakan warna suram, grafik muram

Ekspresi riang kanak- kanak kami tampikan sebagai fokus utama kepada design ini bertepatan tema taakhi yang dibawa. Dalam hubungan interaksi sesama manusia, tahap ukhuwah antara kanak - kanak adalah yang paling jujur.

Kumpulan ini terlalu suci untuk mengenal apa itu dengki dalam bersahabat. Juga kanak - kanak langsung tidak mengenali bermuka - muka dalam bersilaturahmi. Berbeza tahap lainnya, hubungan interaksi kerap kali bersulam unsur buruk yang meremuk dan memusnah nilai sakral persahabatan.

Huruf I, S, dan W itu memang sengaja dibesarkan sebagai simbolik tenaga utama menjana penerbitan Suara Kampus ini. Huruf I mewakili kota Mediterranean indah Iskandariah, S tentunya kepada bandar jantan Shoubra dan W dedikasi khas kepada kota kosmo Wilayah Persekutuan.

Akar untuk memulakan sebuah ikatan persahabatan cemerlang, mulakan dengan perkara - perkara ringkas dan mudah. Islam memulakan episod ukhuwah dengan perkara mudah dan ringkas ini, ucapan memberi salam sebagai kunci awal kepada pembinaan ukhuwah.

Untuk itu, edisi ini juga membawa sidang pembaca menilai tahap ukhuwah dengan membawa pandangan dari bumi Yaman, dari tanah Melayu dan seratanya.

Tambahan, edisi kali ini juga menyuntik teknologi baru kepada sejarah muka depan Suara Kampus. Tulisan Suara Kampus ditampilkan timbul demi memberi lebih nilai kepada pembeli

Berbaloi ?
Memang Berbaloi !

Dapatkan di kedai BKAN & DPM anda !

Tuesday, March 23, 2010

STATUS untuk apa ? (preface)

Dari awal mula penciptaan, semua makhluk punya status sosial sendiri ; dari sehalus semut hingga sebesar dinosaur. Status ini dititip sebagai suatu kod pengenalan universal dalam sesebuah komuniti dan berfungsi efektif dalam membina identiti sesuatu entiti.

Setiap golongan makhluk diberi status sosial tersendiri untuk dibangun potensinya sebagai penghuni alam ini. Tentunya, kumpulan makhluk yang menerima habuan lumayan adalah manusia.

Manusia nyata beruntung, sangat beruntung. Nyata Tuhan dengan kasih-Nya membekal dan menjamin status sosial paling tinggi dalam segenap penciptaan. Kenyataan manusia sebagai ahsanu taqwim memungkinkan manusia menerima pundak tanggugjawab pentadbir alam ( 1:30) setelah keengganan kumpulan ciptaan lainnya (33:73).

Ternyata, status sosial manusia sejak dari awal tercipta Adam a.s sudah punya tempo pengembangan dan penguncupan tersendiri. Mengejutkan, Adam a.s. pra kemunculannya (pencipataanya) sudah memegang status sosial tersendiri, tambahan menjadi polemik hangat antara makhluk yang lebih awal darinya (malaikat) dengan Allah s.w.t.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

Dengan status sosial juga manusia menentukan sikap, tindak dan perilaku. Seorang kaya melihat pantai luas sebgai ruang untuk dimajukan manakala sang nelayan mungkin sudah cukup untuk dijadikan tempat kembali melepas lelah setelah mengharung gelora lautan.


FEBRUARI 2010
LOT 18, JALAN ISTANA

Wednesday, January 13, 2010

Taboo

Akhir Disember lalu,saya memecahkan tabu yang dicipta sendiri,untuk tidak melangkah masuk ke City Star. Bersama beberapa teman, saya memanjang langkah menjengah City Star dengan niat untuk melihat the so called modern City Star.

Tapak mula dalam kompleks tersebut, berdetak melihat Dan Brown melambai mengajak menginfak LE 30 untuk The Lost Symbol. Tapi, poket tidak tebal, jadi pelawaan Brown mungkin tertunai tika Maa'rad nanti.

Kemunculan City Star pada pandangan ramai menunjukkan Mesir sudah menerima arus kemodenan, sudah lari dari imej kuno Piramid, malahan Mesir bakal menjadi negara maju sedikit masa lagi (sampai begitu sekali !)


Walhal bagi saya ia sekadar senjata ampuh imperal Barat mengukuh hegemoni mereka. Agendanya mudah; untuk melerai ikatan kukuh budaya dari segala sudut, sosio-budaya,ekonomi, dan segalanya untuk menurut segala telunjuk belah sana.

Sejak sekian lama Mesir masih kekal dengan sistem perniagaan seperti yang boleh dilihat di Attaba, Hussein dan lainnya - kebal dari monopoli kaum pemodal - dan tentunya pengukuhan bangunan semegah City Star untuk memecah sistem ini. Dengan deretan jenama antarabagsa yang well-established, pasti akan membuat para shopping-holic dan anak muda (yang terkinja kebaratan) tidak sukar untuk memilih samada untuk membeli beg tangan LV atau dari Attaba.

Sudah tentu anda masih dapat menemukan perempuan berburqa' hitam litup, namun itu hanya pandangan terpencil, lorong pengunjung di City Star disesakkan dengan pelbagai seragam yang langsung hilang nilai ke'arab'annya. Pakaian-pakaian yang memenuhi pandangan hanyalah yang urban-urban,up to date, dan kontemperari. Umpama lorong cat walk, 'model-model' ini bangga menayang variasi fesyen yang ada. Fenomena ini akan berterusan dan lama kelamaan pemakaian tradisional arab di sana akan menjadi sesuatu yang skeptik.

Satu kaedah pemasaran baru saya dapat lihat di City Star- sesuatu yang saya terlepas pandang ketika mengunjungi kompleks beli belah di Malaysia - kini, sesuatu kedai tidak lagi kelihatan menarik jika premisnya dipenuhi segala mak nenek barang. Berdasarkan pemerhatian di City Star, cukup dengan papan tanda yang kreatif, dekor dalaman yang menyenangkan, cahaya yang menyegarkan dan produk yang dijaja diletak dalam kadar cukup sederhana, premis tersebut paling kerap dikunjungi.

Saya bukan golongan tradisionalis - yang melihat segala sesuatu yang datang dari Barat sebagai buruk dan hodoh, dan harus ditentang segalanya - saya adil dipandang sebagai penyaring.