Showing posts with label shoubra-mansurah. Show all posts
Showing posts with label shoubra-mansurah. Show all posts

Saturday, May 8, 2010

AWAN MURAM



Dalam Siri Shoubra, Gelapkah Masa Depan ?


Jika punya satu tarikh buat dikenang sejarah hitam pengajian Qiraat Shoubra dan Mansurah, 8 Mei 2010 adalah detiknya.


8 Mei adalah kemuncak duka jika mahu dibanding sejarah hitam lain. Emosi 8 Mei tidak hanya dikongsi mangsa derita, malah rintih sayu ini diraih oleh seluruh dunia.


Kisah 150 pelajar yang melalui perit derita ini bukan harus dipandang biasa - biasa sahaja, kisah ini punya kekuatan untuk dikongsi bersama.


PERTEMBUNGAN KELAS


8 Mei adalah pertembungan ganas dua kelas. 8 Mei adalah pertembungan antara kelas penguasa yang selamanya enak dibuai takhta menentang golongan pencerahan.


Kata silam bagi kelas penguasa ini digelar Umara manakala kumpulan konsisten membawa misi pencerahan digalas golong cendekia Ulama'.


Walau selalu juga dicanang Umara' sama Ulama' bisa harmoni , hakikatnya Ulama' yang sahaja yang selalu disuruh harmoni sama Umara', tanpa Umara' berharmoni bersama Ulama'.


Maka 8 Mei adalah puncak kehampaan kelas pencerahan terhadap kelesuan Umara'. Setelah dicuba harmoni sekian lama, kehampaan malang ini pasti sukar dibendung lewat 8 Mei.

KRISIS NILAI

8 Mei juga adalah bukti pendidikan bukan lagi nilai yang jitu-padu. Pendidikan sebagai nilai sering saja ditumpang gunanya buat sekelian nilai lain. Lihat sahaja bagaimana nilai kuasa ganas merobek nilai pendidikan ini. Akibatnya, pendidikan dijadikan saluran buat kepatuhan buat syahwat pemimpin. Malah, melalui pemerkosaan ganas ini, pendidikan sudah lagi tidak mampu mendidik.Hilang esensinya dan pudar pengaruhya.

Pendidikan juga dipaksa tunduk menghadap gelombang deras ekonomi. Dalam jerutan ketat ini, pendidikan digubah menurut kehendak pasaran. Walhasil, sebarang ilmu yang memberi keuntungan minimum pada pasaran hanya selayaknya diketepikan.

PERTEMBUNGAN IDEA

Kejadian 8 Mei juga adalah perkelahian idea. Di satu belah memilih untuk kekal mewarisi idea pembodohan dan kedangkalan. Manakala satu pihak berhempas pulas keluar dari kepompong zulumat ini.


Tentu dalam pertembungan idea, semua idea mampu dihujah untuk dilaksana. Namun pabila idea itu melibat barang taruhan yang kekal degil untuk menyanggupi gagasan tersebut, gelombang 8 Mei mampu untuk tercetus pada versi - versi lain.

Sunday, April 25, 2010

Shoubra, Gelapkah Masa Depan ? (1)

SHOUBRA, 19 April - Kesyukuran yang tidak terhingga terpancar di wajah setiap mahasiswa tahun satu Maahad Qiraat Shuobra apabila mereka dibenarkan untuk menjalani ujian lisan (syafawi) di sana.

Desas-desus yang mengatakan bahawa ujian lisan bagi mahasiswa tersebut terpaksa ditangguhkan berakhir apabila Pengetua (Mudir) Maahad tersebut membenarkan mereka menjalani ujian walaupun dokumen pengajian mereka masih belum sampai kepada pihak pentadbiran maahad.
Ujar Pengerusi PMRAM Cawangan Shoubra, Saudara Mohd Naim bin Hassan "Kejadian seperti ini merupakan 'rukhsah' daripada pihak pengetua maahad. Kalau sebelum ini, agak sukar bagi mahasiswa Shoubra mengambil peperiksaan dalam keadaan nama masih belum dinaikkan di maahad". Mereka yang seramai 104 orang itu mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil PMRAM Pusat iaitu Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime bersama Timbalan Presiden Saudara Mohd Zuhaili bin Saiman serta Ketua Badan Sambutan Dan Rehlah, Saudara Ahmad Huzaifah Fauzi sebagai wakil Badan Pengurus dari Shoubra yang turut hadir pada pagi tersebut demi memastikan semua mahasiswa tahun satu tidak mempunyai masalah untuk menjalani ujian lisan tersebut.

Presiden PMRAM berkata "Kejadian seperti ini bukan kali pertama yang dihadapi oleh mahasiswa Shoubra. Saya pun tidak pasti bagaimana urusan untuk kenaikan nama di Maahad Qiraat Shoubra yang dilakukan oleh pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Setiap tahun nama mahasiswa tahun satu di sini semakin lewat untuk proses kenaikan".
Keadaan yang sama juga berlaku bagi mahasiswi tahun satu Maahad Qiraat Mansurah. Sehingga kini nama mereka juga masih belum sampai pada pihak pentadbiran maahad di Mansurah.
Ujar Presiden lagi "Walaubagaimana sekalipun pihak PMRAM akan berusaha untuk memastikan kejadian yang sama tidak berulang pada masa akan datang. PMRAM berharap supaya semua ahli sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi peperiksaan

Sumber : PMRAM 

Sunggupun diberi ruang rukhsah, hakikatnya jalan keluar dari masalah ini masih jenuh untuk dicari. Rukhsah ini adalah sebagai respon prihatin Mudir Maahad Qiraat Shoubra atas kelesuan pihak yang menguruskan kenaikan nama bagi pelajar Malaysia di sini.

Trafik kedatangan pelajar baru yang meningkat gandaan tinggi sejak beberapa tahun lepas, jelas tidak disokong sistem kemasukan yang jitu. Ibarat jemputan kenduri yang mengundang ribuan orang namun tenaga masak hanya seorang, kemudian jemputan disuruh bersabar menanti hidangan. Sedangkan si penganjur  lebih dari mampu mengupah ratusan tenaga kerja bagi menyediakan makanan.

Usah palsukan genggaman harapan yang terbang ribuan batu hanya untuk dihampakan dengan kelesuan sistem ini. Sementara pendidikan menjadi instrumen penting pembentukan bangsa, usahlah baka-baka baru ini dibiarkan tersadai dalam perjalanan membentuk wibawa ini.

Wednesday, January 13, 2010

Transaksi Maya


Dalam satu pertemuan penuh mahabbah bersama Syeikh Hussin Al-Asyri di Mansurah tempoh hari, di samping segala taujihat dan nasihat dari Syeikh, sempat beliau menitipkan pesan agar menghebahkan teratak mayanya dan selalukan menziarahinya:

http://www.muslimvideo.com/tv/member/21567/syeikh%20husin/

Jika berbicara mauduk Qiraat, terasnya terhimpun di dua lokasi, Shoubra, bumi pria dan Mansurah buat srikandinya.
Nyata, cara penyampaian sudah di'melayu'kan, sekadar menambah rasa senang mengaut segala khazanah yang ada.
Tentunya usaha ini, baiknya usah diperikan lagi, rupanya telah terjelma sekian lama. Penghargaan pada yang mengusahakan.