Friday, October 29, 2010

Menara Warisan Merdeka : Dua Musabab Utama



Antara tumpuan utama pembentangan bajet 2011 adalah pembinaan bangunan 100 tingkat, Menara Warisan Merdeka. Dalam ruang ini saya majukan dua musabab mempertikai projek ini

  1. Konotasi 'Warisan' yang disandar pada menara tersebut cukup meragukan. Seperti yang yang dijelas oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, pembinaan bangunan pencakar langit ini bakal dimajukan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) , sebuah syarikat pelaburan bumiputra yang telah dipundakkan tugasnya bagi membangun swadaya kaum bumiputra bagi meningkatkan taraf ekonomi kelompok tersebut. Ada baiknya kita susuri perkaitan kuat antara dua kata kunci di sini; 'Warisan' dan 'Bumiputra'. Sebelum penjajahan kuasa asing pada Tanah Melayu, tampuk pentadbiran Tanah Melayu sepenuhnya diurus oleh kaum pribumi, bumiputra. Pada periode ini, kita menyaksikan satu sistem urus tadbir yang baik, jika tidak sempurna sekalipun. Walau ditadbir oleh sistem raja minoraki, suara rakyat terbanyak diambil kira sebelum suatu polisi pentadbiran dilaksanakan. Sultan Alauddin Riayat Syah misalnya, cukup dikenali dengan sifat terpujinya menekuni detik nadi marhean dengan menyamar sebagai rakyat biasa pada zaman pemerintahannya bagi merasai sendiri kehidupan bergelar rakyat yang terkadang tersisih cakap pandangnya dalam pentadbiran negara, walau golong inilah yang bakal menerima kesan paling besar bagi setiap corak pentadbiran yang dikenakan pada mereka. Ini merupakan sebahagian dari contoh 'Warisan' pentadbiran  yang telah ditadbiri oleh masyarakat pribumi. Hajjiyat diutamakan, awlawiyyatdidahulukan. Manakala 'Bumiputra' seperti diketahui umum, masyarakat asal punya Tanah Melayu ini. Masyarakat asal yang mampu untuk menanggapi setiap potensi ruang buana ini sebaiknya. Masyarakat pewaris warisan budaya, nilai, corak tanah ini. Jika warisan mahu disandar pada menara itu, adakah ia lambang jitu yang mewakili 'Warisan Bumiputranya' ? Oleh itu, konotasi 'Menara Warisan' cukup meragukan kerana balik warisan manakah pembangunan ini cuba disungguhkan pembinaannya ? Ketika nasib ekonomi bumiputra dan kaum lainnya masoh jauh dari terbela, kos pembinaan yang besar itu cukup menghiris marhean yang makin sempit dihimpit hidupnya. Atas alasan mahu menjadi mercu tanda baru negara, zaman Khalifah Umar Ibn Aziz masih harum dikenang baiknya tanpa kemegahan pada materi yang berleluasa dari Babylon yang mampu bermegah pada Taman Tergantungnya.    
  2. Pembinaan Menara Warisan jika direnung lebih dalam bakal mengulangi apa yang telah diperihalkan oleh John Perkins dalam Economics Hit Man. Bagaimana keghairahan tinggi sesebuah negara untuk mengejar status negara maju, akhirnya telah terjerumus dalam bebanan hutang yang tiada mampu dibayar . Belumpun projek pembinaan Menara Warisan dimulakan, pengumuman Ketua Audit Negara bahawa paras hutang negara berada dalam paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, yang mencakupi 54 % KDNK negara sekadar memperkuat dakwaan ini. Sedang kita masih menangisi projek mega yang lalu yang hanya gah pada nama, namun gagal pada fungsi, kenyataan ini menguatkan hujah Perkins Dalam Economics Hit Man. Dalam buku tersebut, Perkins telah menceritakan secara mudah tugasnya untuk memperluas cengkaman hegemoni Amerika Syarikat dengan menjebakkan negara sasaran ke dalam hutang besar hingga memaksa ia meminjam kepada kerajaan Amerika Syarikat dan agensi kewangan antarabangsa . Usah berasa selesa dengan kenyataan ini bahawa projek ini akan dibiayai oleh PNB sepenuhnya. Dengan tenaga pembinaannya yang akan diimport dari luar negara, harga 5 billion ini mampu sahaja untuk melonjak ke angka lebih besar. Mari fikirkan logik mudah ini, dengan Menara Warisan dijangka siap pada 2015, hutang negara yang makin meningkat, mampukah Malaysia menolak sebarang tawaran agensi ekonomi antarabangsa, untuk memulihkan kewangannya ? Bimbangnya yang 'Menara Warisan Merdeka' itu benar-benar merdeka. Merdeka sehingga terpaksa bebas melepaskan segala-galanya menikut telunjuk kuasa utama dunia. Yang dikejar melangit tak dapat,yang dikendong waris berwarisan berciciran. 

Thursday, October 21, 2010

KERAIAN SARAT NILAI

Aidilfitri yang menyusul langsung lepas Ramadhan ditakdirkan untuk tidak menjadi hari keraian hambar tanpa nilai, Hari Raya Aidilfitri adalah sarat nilai.

Dalam kelendar perayaann Arab Jahiliyyah, setiap perayaan disambut hanya untuk sekadar memuaskan nafsu.Perayaan yang disambut tanpa sebarang penghayatan nilai . Lalu, tidak hairanlah kebejatan sosial masyarakat Jahiliyyah Arab menjadi identiti sinonim mereka sebelum kedatangan Islam.  Urusan luar rasional menjadi nilai yang diterima umum dalam kehidupan seharian. Menistakan kelahiran bayi perempuan, menipu dalam perniagaan dan lainnya merupakan hasil akibat dipandu pertimbangan akal dangkal semata.

Lantas, demi membasmi kesesatan ini, Allah Taala menghadiahkan kepada ummat Muhammad perayaan yang lebih murni penghayatannya, lebih suci ruhnya kepada kita. Aidilfitri dirayakan sebagai lambang kejayaan kita melepasi tarbiyah Ramadhan; selama sebulan kita menahan diri dari makan dan minum ,belajar untuk menjadi hamba Allah yang taat akan erti hidupnya dan memupuk segala amalan Islam yang sempurna pada diri kita.

Justeru, Aidilfitri sebagai ganti kepada perayaan sesat Jahiliyyah, harus dicorak melalui kekuatannya yang tersendiri. Pada kekuatan untuk membesarkan kekuasaan Illahi yang terus memberi hayat sehingga ke hari kemenangan setelah dibekalkan kesempatan mengecas kekuatan ruhiyyah pada Ramadhan. Bertakbir, sebagai contoh, melambangkan lautan kesyukuran yang kita titipkan kepada Maha Rahim sebaik kita melangkah ke Aidilfitri.

Aidilfitri pada kekuataanya mampu untuk meneruskan rentetan kecermelangan taqwa yang ditempuhi pada Ramadhan. Akan tetapi, Aidilfitri jika dicorak pada acuan lama Jahiliyyah,sesuatu yang semakin zahir kini, bukan sahaja mampu meluturkan nilai Aidilfitri, malahan kesan pertarbiyahan Ramadhan tidak akan meninggalkan bekas yang lama pada diri kita.

Railah Aidilfitri pada kekuatannya seperti yang ditegakkan oleh Baginda Muhammad alaih salam. Biar bersederhana, namun bercahaya.

Dimuat dalam Nida' Huffaz, risalah terbitan Unit Penerangan dan Penerbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra

Sunday, October 10, 2010

SIGNIFIKAN SHOUBRA PADA KONVOKESYEN UNIVERSITI AL-AZHAR 2010


Ada beberapa signifikan besar yang dimainkan warga Shoubra pada Konvokesyen Universiti Al-Azhar 2010 yang telah berlangsung hari ini.

1.Mahasiswa Shoubra telah diberi penghormatan untuk mengalunkan baccan ayat suci Al - Quran Karim pada majis yang turut dihadiri oleh Syeikul Azhar, Prof. Dr. Imamul Akbar Ahmad Muhammad Tayyib.
 
2.Mengikut statistik graduan mahasiswa/wi Malaysia Universiti Al-Azhar sesi 2009/2010 yang disertakan dalam buku cenderahati majlis, seramai 110 orang graduan Pengajian Qiraat telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam tahun ini. Dari jumlah tersebut, graduasi Shoubra seramai 97 orang; jumlah siswa tertinggi melebihi bidang pengajian lain samada Syariah, Usuluddin dan lain-lain
 
3.Tambah membanggakan, dari seramai 354 orang mahasiswa/wi Al-Azhar yang menamatkan pengajian pada tahun ini, hanya dua orang mahasiswa sahaja yang beroleh peringkat Sangat Baik. Dua orang mahasiswa tersebut dari Shoubra. Walau jumlah sebenarnya tiga pada perkiraan saya; nama Amaluddin Arshad tidak dicatat langsung pada senarai tersebut walau turut juga memperoleh peringkat sama.
  
Tulisan ini bukanlah suatu bentuk keterujaan saya pada angka untuk mendabik Shoubra secara khusus, mahupun Pengajian Qiraat amnya; ia lebih pada kepada pembelaan yang telah kini dibuktikan, yang menuntut ruang yang lebih besar diberi kepada mahasiswa/wi Qiraat. Sesi pengajian lepas, yang terjadi adalah suatu bentuk pemencilan yang cukup memalukan telah dikenakan pada mahasiswa/wi Qiraat.

1.Proses kenaikan nama mahasiswa/wi di Maahad masing-masing yang mengambil masa yang cukup lama untuk diselesaikan, sehingga mahasiswa/wi diheret ke Imtihan Dur Thani. Tentunya masalah ini bukan perkara baru, namun ketika momentum desakan dari pelajar begitu kuat, barulah cuba untuk diselesaikan. Dengan bilangan  pelajar yang besar setiap tahun datang ke Mesir bagi mengikuti pengajian Qiraat, masalah ini sepatutnya sudah lama selesai dengan sedikit ketekunan dan kebijakan pengurusan. Bilangan yang besar mewakili suara yang yang kuat, penafian pada golongan ini bakal menjelmakan gelombang kebangkitan yang jitu yang menuntut hak mereka secara padu.
  
2.Pertikaian pada ijazah Sarjana Muda Qiraat dengan alasan pengajian Qiraat di Mesir hanyalah di institusi bertaraf Maahad tidak di Jamiah tidak harus langsung dibicarakan.Pengajian Qiraat adalah bidang yang masih baru di Malaysia dan jumlah 'ahli'; yang benar menguasai dan memahami, amatlah sedikit.Justeru, pengiktirafan Sarjana Muda adalah jalan terbaik bagi memajukan displin ilmu ini di Malaysia yang realiti dunia pendidikannya, wujud obsesi yang tinggi bagi menilai kepakaran seseorang berdasar tingkat sijil yang diperolehinya. Ini bukan bermaksud, perlunya jalan pintas mengiktiraf displin ilmu Qiraat.Segala apa yang diajar di Maahad tidaklah layak diperoleh Ijazah secara permukaanya, namun apa yang harus diakui, silibus pengajian Qiraat yang berada di Maahad Shoubra / Mansurah (yang membolehkan mahasiswa/wi Melayu beroleh ijazah, tapi tidak bagi warga Mesir sendiri) masih belum mampu untuk diterapkan di Malasyia. Dalam bahasa mudah, ia sudah cukup 'tinggi', walau berada pada batas Maahad.Jadi mengapa sistem pengajian Mesir hanya meletakkan silibus ini di Maahad, tidak di Jamiah (Universiti). Ini bersesuaian dengan tahap perkembangan displin ilmu Qiraat di Mesir yang jauh sudah maju di hadapan sejak sekian lama (Imam Syatibi memilih Mesir untuk mendalami dan menyebarkan ilmu Qiraat dek terkehadapanya Mesir ratusan tahun dahulu awalnya ). Kesimpulan mudah, pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda kepada graduan Maahad Qiraat di Malaysia adalah kerana 'tinggi'nya silibus yang diajar di Maahad. Ia harus diukur begini. Bukan kerana 'rendah'nya tahap Maahad yang berada satu tahap di bawah Jamiah, ia tidak layak mendapat iktiraf Ijazah Sarjana Muda.

Saya tidak mengharap banyak dari tulisan ini, cukuplah sekiranya selepas ini segenap pihak yang bertangungjawab mengurus dan membela mahasiswa/wi Qiraat mampu untuk memahami kondisi yang berlakunya sebetulnya pada posisi masing-masing. Moga segala hal yang dibangkit mampu membuka perhatian semua pihak; mahasiswa/wi, lepasan Pengajian Qiraat, pihak pentadbiran, organisasi pelajar dan lain-lain.

Sunday, October 3, 2010

Ardhil Kinanah ini limpahnya hikmah; barang cicir Muslim itu, tak hanya pada penyandang gelar agamawan,ilmuwan, dan bukuwan. Pada golong ini usah lelah meminta. Watak fakiran, dhaifan, dan marhean mampu juga lunak meluah hikmah. Pada mereka, capet menduganya kita, satu kerugian pada kita