Thursday, October 21, 2010

KERAIAN SARAT NILAI

Aidilfitri yang menyusul langsung lepas Ramadhan ditakdirkan untuk tidak menjadi hari keraian hambar tanpa nilai, Hari Raya Aidilfitri adalah sarat nilai.

Dalam kelendar perayaann Arab Jahiliyyah, setiap perayaan disambut hanya untuk sekadar memuaskan nafsu.Perayaan yang disambut tanpa sebarang penghayatan nilai . Lalu, tidak hairanlah kebejatan sosial masyarakat Jahiliyyah Arab menjadi identiti sinonim mereka sebelum kedatangan Islam.  Urusan luar rasional menjadi nilai yang diterima umum dalam kehidupan seharian. Menistakan kelahiran bayi perempuan, menipu dalam perniagaan dan lainnya merupakan hasil akibat dipandu pertimbangan akal dangkal semata.

Lantas, demi membasmi kesesatan ini, Allah Taala menghadiahkan kepada ummat Muhammad perayaan yang lebih murni penghayatannya, lebih suci ruhnya kepada kita. Aidilfitri dirayakan sebagai lambang kejayaan kita melepasi tarbiyah Ramadhan; selama sebulan kita menahan diri dari makan dan minum ,belajar untuk menjadi hamba Allah yang taat akan erti hidupnya dan memupuk segala amalan Islam yang sempurna pada diri kita.

Justeru, Aidilfitri sebagai ganti kepada perayaan sesat Jahiliyyah, harus dicorak melalui kekuatannya yang tersendiri. Pada kekuatan untuk membesarkan kekuasaan Illahi yang terus memberi hayat sehingga ke hari kemenangan setelah dibekalkan kesempatan mengecas kekuatan ruhiyyah pada Ramadhan. Bertakbir, sebagai contoh, melambangkan lautan kesyukuran yang kita titipkan kepada Maha Rahim sebaik kita melangkah ke Aidilfitri.

Aidilfitri pada kekuataanya mampu untuk meneruskan rentetan kecermelangan taqwa yang ditempuhi pada Ramadhan. Akan tetapi, Aidilfitri jika dicorak pada acuan lama Jahiliyyah,sesuatu yang semakin zahir kini, bukan sahaja mampu meluturkan nilai Aidilfitri, malahan kesan pertarbiyahan Ramadhan tidak akan meninggalkan bekas yang lama pada diri kita.

Railah Aidilfitri pada kekuatannya seperti yang ditegakkan oleh Baginda Muhammad alaih salam. Biar bersederhana, namun bercahaya.

Dimuat dalam Nida' Huffaz, risalah terbitan Unit Penerangan dan Penerbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa (MAQAZ) Shoubra

No comments: