Antara tumpuan utama pembentangan bajet 2011 adalah pembinaan bangunan 100 tingkat, Menara Warisan Merdeka. Dalam ruang ini saya majukan dua musabab mempertikai projek ini
- Konotasi 'Warisan' yang disandar pada menara tersebut cukup meragukan. Seperti yang yang dijelas oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, pembinaan bangunan pencakar langit ini bakal dimajukan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) , sebuah syarikat pelaburan bumiputra yang telah dipundakkan tugasnya bagi membangun swadaya kaum bumiputra bagi meningkatkan taraf ekonomi kelompok tersebut. Ada baiknya kita susuri perkaitan kuat antara dua kata kunci di sini; 'Warisan' dan 'Bumiputra'. Sebelum penjajahan kuasa asing pada Tanah Melayu, tampuk pentadbiran Tanah Melayu sepenuhnya diurus oleh kaum pribumi, bumiputra. Pada periode ini, kita menyaksikan satu sistem urus tadbir yang baik, jika tidak sempurna sekalipun. Walau ditadbir oleh sistem raja minoraki, suara rakyat terbanyak diambil kira sebelum suatu polisi pentadbiran dilaksanakan. Sultan Alauddin Riayat Syah misalnya, cukup dikenali dengan sifat terpujinya menekuni detik nadi marhean dengan menyamar sebagai rakyat biasa pada zaman pemerintahannya bagi merasai sendiri kehidupan bergelar rakyat yang terkadang tersisih cakap pandangnya dalam pentadbiran negara, walau golong inilah yang bakal menerima kesan paling besar bagi setiap corak pentadbiran yang dikenakan pada mereka. Ini merupakan sebahagian dari contoh 'Warisan' pentadbiran yang telah ditadbiri oleh masyarakat pribumi. Hajjiyat diutamakan, awlawiyyatdidahulukan. Manakala 'Bumiputra' seperti diketahui umum, masyarakat asal punya Tanah Melayu ini. Masyarakat asal yang mampu untuk menanggapi setiap potensi ruang buana ini sebaiknya. Masyarakat pewaris warisan budaya, nilai, corak tanah ini. Jika warisan mahu disandar pada menara itu, adakah ia lambang jitu yang mewakili 'Warisan Bumiputranya' ? Oleh itu, konotasi 'Menara Warisan' cukup meragukan kerana balik warisan manakah pembangunan ini cuba disungguhkan pembinaannya ? Ketika nasib ekonomi bumiputra dan kaum lainnya masoh jauh dari terbela, kos pembinaan yang besar itu cukup menghiris marhean yang makin sempit dihimpit hidupnya. Atas alasan mahu menjadi mercu tanda baru negara, zaman Khalifah Umar Ibn Aziz masih harum dikenang baiknya tanpa kemegahan pada materi yang berleluasa dari Babylon yang mampu bermegah pada Taman Tergantungnya.
- Pembinaan Menara Warisan jika direnung lebih dalam bakal mengulangi apa yang telah diperihalkan oleh John Perkins dalam Economics Hit Man. Bagaimana keghairahan tinggi sesebuah negara untuk mengejar status negara maju, akhirnya telah terjerumus dalam bebanan hutang yang tiada mampu dibayar . Belumpun projek pembinaan Menara Warisan dimulakan, pengumuman Ketua Audit Negara bahawa paras hutang negara berada dalam paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, yang mencakupi 54 % KDNK negara sekadar memperkuat dakwaan ini. Sedang kita masih menangisi projek mega yang lalu yang hanya gah pada nama, namun gagal pada fungsi, kenyataan ini menguatkan hujah Perkins Dalam Economics Hit Man. Dalam buku tersebut, Perkins telah menceritakan secara mudah tugasnya untuk memperluas cengkaman hegemoni Amerika Syarikat dengan menjebakkan negara sasaran ke dalam hutang besar hingga memaksa ia meminjam kepada kerajaan Amerika Syarikat dan agensi kewangan antarabangsa . Usah berasa selesa dengan kenyataan ini bahawa projek ini akan dibiayai oleh PNB sepenuhnya. Dengan tenaga pembinaannya yang akan diimport dari luar negara, harga 5 billion ini mampu sahaja untuk melonjak ke angka lebih besar. Mari fikirkan logik mudah ini, dengan Menara Warisan dijangka siap pada 2015, hutang negara yang makin meningkat, mampukah Malaysia menolak sebarang tawaran agensi ekonomi antarabangsa, untuk memulihkan kewangannya ? Bimbangnya yang 'Menara Warisan Merdeka' itu benar-benar merdeka. Merdeka sehingga terpaksa bebas melepaskan segala-galanya menikut telunjuk kuasa utama dunia. Yang dikejar melangit tak dapat,yang dikendong waris berwarisan berciciran.
No comments:
Post a Comment