Bersama rakan-rakan berbincang soal penggunaan kalimah dalam Bahasa Melayu dalam menta'rifkan kalimah iftar; buka puasa. Iftar dirujuk kepada suatu masa khas bagi peralihan antara dua titik waktu, antara berakhirnya waktu berlapar dan bermulanya waktu makan yang diizinkan.
Perbincangan dilanjutkan kepada soal mengapa kalimah 'buka' dipadankan 'puasa' sebagai terjemahan popluar kepada iftar dan menjadi satu-satunya terjemahan tunggal kepada kalimah iftar dalam Bahasa Melayu (pada pendapat kami tiada kalimah lain yang digunakan secara meluas selain buka puasa, bersekali dengan imbuhannya seperti ber-buka dan selainnya).
Kalimah 'buka' jika difahami dalam rangka 'untuk masuk' adalah kata yang dijalinkan dengan penuh adab dan ketertiban berbanding pecah masuk, rompak, serbu, rempuh dan ceroboh. 'Buka' juga bersangkutan terus untuk sebuah upaya dan usaha untuk mencapai tujuan akhir yang dihajati.
Kalimah 'buka' dalam pengertian 'membuka sesuatu yang tertutup' adalah rantaian kata murni berbanding tanggal, cabut, londeh, selongkar, selerak. Sesudah membuka yang tertutup, terhijab, seterusnya pembukaan ini melorongkannya kepada jalan tepat dan benar dengan menjadikannya dapat diketahui, agar dibimbing untuk beroleh akibat di hujung perjalanan.
Perkataan 'buka' juga adalah lambang kesukarelaan, tindakan yang dilakukan dengan penuh dengan kesedaran dan pertanggungjawaban yang dipikulnya, bukan keterpaksaan dan keterikatan yang tidak direlakan (hati terbuka).
Bersabda Junjungan Mulia Rasulullah s.a.w "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Pertama, ketika dia berbuka dan kedua, ketika bertemu Allah."
Hadith ini hadir dalam bentuk pembuktian yang amat kukuh bahawa, 'buka' amat terkait rapat dengan kata kunci lain; 'adab, kesedaran, pertanggungjawaban, usaha, benar dan pengakhiran'
Maka kami membuat kesimpulan, 'buka puasa' memberi makna kelakuan pelakunya dengan penuh kesedaran akan titik peralihan masa yang mengizinkannya mengakhiri puasa pada waktunya dengan penuh adab menuju kebahagiaan hakiki pada Tuhan di hujung perjalanan.
Wallahua'lam
Powered by socialditto ·