Bandingkan anak-anak yang berpindah randah mengikut turut kerja orang tua pada usia muda, kehidupan awal saya tidaklah terlalu kompleks, lahir di Hospital Alor Star, kemudian dibesarkan sepenuhnya di pekan damai Jitra sehingga kini. Sepenuhnya di Kedah.
Justeru, saya dapat merasai dengan dekat denyut nadi Kedah. Dari membeli belah di Looking Good hinggalah galak menapak di Tesco. Dari berkelah di Bukit Wang hingglah menaiki tren di Gunung Mat Chincang. Dari Othman Aroof hingga Azizan Razak. Dari projek tanaman padi atas bumbung hinggalah gagasan 'Kedah Maju 2010', seterusnya Kedah Sejahtera, saya merasai segalanya.
Di balik segala kemajuan dan perubahan yang dialami Kedah sepanjang 20 tahun lepas, perubahan pucuk pimpinan pada Mac 2008 meniggalkan impak terbesar pada Kedah sepanjang dua dekad lepas. Saya juga bahagian dari gelombang ini.
Slogan Kedah Sejahtera, tema terbaru Kedah, jika dibanding dengan Kedah Maju 2010, tentunya lebih sederhana dan mesra. Orang Kedah yang masih kuat diikat dengan dengan damai sawah padi, hikayat Mahsuri, dan kehidupan kampung melihat tema Kedah Maju 2010 sebagai sesuatu yang begitu advance. Kalimah maju itu pun sudah sesuatu yang asing dalam hidup mereka.
Jika diaju pada Pak Leh, nelayan Kuala Kedah, bagaimana contoh negeri maju, pasti jawapan akan dikiblatkan menuju Kuala Lumpur. Maju Kuala Lumpur pun arif benar Pak Leh hanya dari sudut lahiriah cuma, sedang batiniyah terseksa. Sedang bumi Kedah bukan bumi tandus agama, pondok-pondok masyhur serata, tok-tok guru alim belaka, justeru, takut maju Kedah sepadan Kuala Lumpur, Kedah Maju takut nanti membuang agama.
Di balik segala canang dan kempen, sangsi rakyat melihat majunya Kedah makin bertambah. Bukan melekehkan namun menyedarkan, bagaimana mahu maju jika sumber utama ekonomi masih kuat bergantung pada sawah padi, kilang-kilang masih boleh dihitung guna jari, pembangunan pun dibuat henti-henti. Natijahnya, gagasan Kedah Maju ditolak.
Selepas Mac 208, datang lagi cogan kata baharu. Kedah Sejahtera. Kini, orang Kedah penat sudah menghadam pelbagai slogan namun tindaknya sekadar bayang-bayang cuma. Namun, wujud keinginan tinggi untuk melihat bagaimana pembawa slogan ini melaksanakannya. Mampukah pemerintah kini membawa Kedah yang dimahukan oleh rakyat Kedah, soalan ini masih memerlukan jawapan.
Berikut adalah sedutan ucaptama perasmian Konvesyen Wehdah kali ke 2. Ucapan yang secara tuntas membincangkan dan memajukan harapan sejahtera pada Kedah. Jika pada konvensyen kali pertama, saya diberi peluang menghadiri, untuk kali ini sekadar memerhati dari jauh.
“KEDAH YANG KITA MAHU”
Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid
Pengerusi WEHDAH / Presiden TERAS
Konvensyen WEHDAH Ke 2 ,
24 Zulhijjah 1430H / 11 hb Disember 2009
Dewan Seri Mentalon, Alor Setar, Kedah.
“Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri , maka kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu ( agar mentaati Allah ) , tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam ( negeri ) itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan ( hukum kami ), kemudian kami binasakan sama sekali ( negeri itu )” Al-Isra’:16
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan,memberi kepada kaum kerabat,dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran” An Nahl :90
Selamat datang kepada semua warga Kedah dalam Konvensyen WEHDAH Kali ke 2. Dengan rendah diri kami menghadhirkan forum ini sebagai sebuah wahana berbincang dan membentuk arahtuju dan hala bergerak untuk Kedah Darul Aman.
Meninjau semula sejarah Kedah yang panjang kita menghimbau jejak perjalanan negeri ini dengan sejumlah harapan bahawa ia bakal dibangunkan sebagai negeri mithali.
Kedah selayaknya mendapat gelaran Darul Aman hanya ketika ciri dan seluruh kriteria sebagai negeri yang Aman dipenuhi. Lantaran itu diharapkan negeri ini meni’mati harkat keamanan yang merentas seluruh aspek kehidupan warganya iaitu aman dalam mentadbir urusan pemerintahan , aman dalam mengurus keperluan rakyat , aman dalam kehidupan harian yang dijamin keselamatan , aman dalam menguruskan sumber kekayaan , aman dalam mendapat pembelaan ketika hak warga dinafi , aman dalam menyuarakan pandangan ketika berkhilaf antara rakayat dan kerajaan serta yang terpenting , aman dalam menegakkan dan mendaulatkan hukum-hukum Allah S.W.T.
Keutuhan sebuah masyarakat bermula dari keupayaannya melahirkan ciri-ciri kemandirian dikalangan anngotanya. Samada diperingkat individu atau dalam wadah organisasi, masyarakat yang berbudaya mandiri akan mampu bertahan dalam suasana apapun samada gejolak ekonomik mahupun kegawatan politik.
Membina masyarakat yang tersemai sifat dan budaya berdikari adalah faktor penting jika Kedah mahu melangkah untuk mencapai kegemilangan dalam pemerintahan (governance) dan kepekaan dalam kewargaan seperti yang dikehendakki oleh rakyat. Soalnya bagaimanakah ini boleh dicapai?
WEHDAH merupakan sebuah upaya yang digerakkan untuk mengembleng seluruh rakyat bagi mengwujudkan gelombang rakyat yang mampu bertindak aktif mewarnai corak pembangunan yang diinginkan untuk Kedah. Ia adalah wadah berinisiatif rakyat , berwawasan Islam dan bergerak mandiri. Ia merupakan gabungan penyatuan sumber tenaga aktivis masyarakat Kedah yang bekerja untuk mengaktifkan setiap warga Kedah sebagai warga yang siapsiaga ( alert citizenry) supaya terlibat secara aktif bukan sekadar sebagai penerima tetapi sebagai aktor penting menentukan jenis pembangunan yang diinginkan. WEHDAH hadhir untuk menyediakan wahana rakyat untuk berinteraksi secara produktif dan terlibat dalam menentukan arah tuju pembangunan secara pro-aktif.
WEHDAH bermatlamat untuk membentuk masyarakat Kedah yang berilmu , adil , dinamik , peka , produktif , mandiri dan berakhlaq unggul. Ia juga berusaha untuk merealisasikan ciri-ciri masyarakat Islamiyyah seluruhnya berlandaskan Al- Quran dan As- Sunnah.WEHDAH berprinsipkan budaya hidup unggul yang diacu oleh ajaran Islam sepenuhnya.
WEHDAH bervisi untuk melahirkan masyarakat contoh dalam seluruh aspek. WEHDAH menegaskan matlamat untuk meningkatkan budaya ilmu dan penghayatan hidup Islam sebagai hadafnya yang utama.
Disamping itu juga WEHDAH bermatlamat untuk mengwujudkan kehidupan harmonis dan saling bertasamuh dalam realiti kemajmukan rakyat. Bahawa WEHDAH juga berhasrat untuk mengwujudkan keadilan untuk semua rasa dan kepercayaan pelbagai kelompok asalkan dalam bingkai menjaga kerukunan masyarakat beradat dan beragama .
Bahawa prinsip adil dan benar akan merentas perjuangan WEHDAH bagi megwujudkan masyarakat Kedah yang dapat diteladani dalam hal perhubungan antara pelbagai kaum sehingga keadilan dikecapi semua dan kesejahteraan dan kemakmuran dini’mati kullu ajma’in.
Dalam upaya yang tersendiri inilah WEHDAH berusaha untuk merumuskan suara dan impian rakyat bagi mengenengahkan gagasan “Kedah yang kita Mahu”. Sementara kita prihatin wujudnya kejanggalan dalam banyak hal dalam sistem Federation yang disepakati untuk mengurustadbir negeri dengan mengguna peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang ada , kami tetap merasakan amanah memerintah negeri tetap tidak dapat diabaikan.
Walaupun sungguh wujud ketidakadilan , pertindihan dan diskriminasi dalam mengalirkan peruntukan pembangunan oleh kerajaan Pusat melalui sebuah agensi bernama JPP gara-gara mahu terus mencelah agar rakyat tidak terus hilang keyakinan kepada kerajaan Pusat, namun WEHDAH berharap keupayaan mentadbir negeri oleh kerajaan yang dilantik rakyat tidak akan terjejas. Dengan kesepakatan rakyat dan kesungguhan kerajaan , Kedah seharusnya boleh terus mencapai kegemilangan yang diharapkan.
Kami menyenaraikan sebaris harapan dan segunung hajat untuk semua warga Kedah bersama mengembleng tenaga bagi menggapai gagasan “Kedah yang Kita Mahu” seperti berikut:
Kedah yang bertaqwa
WEHDAH mengidamkan supaya bumi Kedah dihuni oleh insan bertaqwa. Ketaqwaan adalah tonggak sebuah negeri yang akan layak mendapat pertolongan dan keberkatan dari Allah S.W.T. Kedah perlu mengwujudkan suasana ketaqwaan disemua keadaan dan disemua tempat. Menyerlahkan ciri-ciri taqwa ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk tingkahlaku disemua peringkat dan semua sektor aktiviti manusia. Ketaqwaan jangan hanya dalam bentuk retorik tetapi hendaklah suatu konsep dan nilai yang hidup dan dirasai denyutan nadinya dalam setiap aktiviti yang digerakkan untuk rakyat disetiap daerah dan perkampungan mahupun kawasan perumahan. Ketaqwaan sangat perlu dirasai dan hidup di Dewan Undangan Negeri , di semua agensi Kehakiman dan di semua jabatan kerajaan. Suasana taqwa hendaklah dibina disetiap sektor swadaya masyarakat dan swasta.
Kedah yang adil
Keadilan adalah ciri terpenting dalam urustadbir sebuah negeri. Keadilan bukan sekadar tuntutan demokrasi tetapi kewajipan dalam Islam yang akan diperhitung sehingga di akhirat oleh Allah S.W.T ke atas mereka yang memegang amanah kuasa. Kedah yang adil perlu dikecapi meliputi semua peringkat terutama dikalangan golongan yang lemah , perlu dini’mati oleh semua etnik dan semua golongan dan semua pegangan politik. WEHDAH inginkan pemerintah yang mengamalkan prinsip keadilan secara bersungguh bukan sahaja dari sudut undang-undang tetapi juga dari sudut keadilan ekonomi , keadilan sosial , keadilan politik , keadilan alam sekitar dan keadilan budaya. Kedah mesti dilihat sebagai negeri yang mendahului keadilan dalam semua aspek pemerintahannya. Kedah perlu mengwujudkan suasana selamat dan terbela untuk golongan paling mudah dieksploitasi seperti wanita , faqir miskin , buruh , remaja , petani dan nelayan. Jangan ada rasa dizalimi oleh sesiapapun yang berada di Kedah.
Keadilan mesti berbicara secara langsung dengan nasib rakyat. Bukan hanya sebagai suatu slogan dan retorik kosong oleh para wakil kerajaan yang berbicara diawangan. Belanjawan perlu diputuskan , ditadbir , diurus , dipantau dengan keadilan yang berkait langsung dengan rakyat. Faedah-faedah hiliran mesti dirasai mengalir dengan telus dan adil. Masalah-masalah harian golongan bawahan perlu dirasai terjawab dengan pelbagai polisi pembangunan dan belanjawan kerajaan negeri seperti isu kos hidup , kualiti perkhidmatan agensi kerajaan , kemudahan asas , perumahan , kebajikan dan peluang mata pencarian seharian. Jangan berlaku rakyat jauh hati , kecil hati dan berakhir dengan sakit hati bila rakyat berputih mata melihat wang dan peruntukan mengalir didepan mata tetapi dikecapi hanya mereka yang berkepentingan.
Kedah yang mesra alam
Kita mahukan Kedah benar-benar menjadi sebuah negeri yang memelihara khazanah alam. Alam sebagai anugerah Allah dengan segala fungsinya yang sangat kritikal untuk kestabilan dan keharmonian negeri perlu dipelihara dalam semua aktiviti pembangunan. Keghairahan untuk membangun tidak harus atas harga memusnahkan alam sekitar. Pembangunan perlu mengambilkira keperluan generasi akan datang dan perlu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan kepentingan rakyat tidak dimangsakan hanya kerana mahu mencapai angka perrtumbuhan ekonomi yang tinggi semata-mata. Sumber air , tanah , hutan , tasek , sungai , galian , pulau , bukit-bukau dan gunung-ganang bukanlah komoditi yang perlu dieksploiatsi semahunya. Semua sumber ini punyai fungsinya yang serba berkait dan saling mengukuh. Kedah perlu mempunyai polisi mengendali dan memanfaatkan sumber dengan sangat teliti dan cermat serta penuh tanggungjawab. Keghairahan para konglomerat yang selalu mencari peluang untuk mengaut keuntungan lumayan dengan mempengaruhi pihak berwewenang hendaklah diawasi. Dengan undang-undang yang sedia ada semada undang-undang Pusat atau negeri , walaupun masih banyak kelemahan dari segi peruntukan mahupun penguatkuasaan , namun ia tetap perlu dipatuhi kerana persoalan menjaga ekologi dan kualiti alam bukan soal estika untuk dijadi komoditi pelancongan semata. Alam berfungsi mengikut peraturan yang tidak boleh diganggu gugat hatta dengan teknologi betapa canggih sekalipun. Oleh itu pengalaman alam sekitar Kedah yang telah banyak digeledah dengan bernafsu sekali oleh pengusaha yang hanya tahu menumpu kepada nilai wang semata-mata , tidak harus diwarisi oleh kerajaan yang ada. Aktiviti tanpa penguatkuasaan undang-undang seperti kuari bukit , perlombongan pasir sungai , penebangan hutan , pemusnahan hidupan persisiran pantai oleh bot laut dalam , pembuangan bahan toksid , pelepasan asap dari kilang yang masih berterusan , penempatan kawasan perindustrian yang mencemar , perlanggaran Akta Kualiti Alam Sekitar dan Akta Perancangan Bandar dan Desa .... semua ini perlu perhatian serius oleh kerajaan negeri. Manifesto yang merupakan janji bertulis akan terus dijadi bahan debat rakyat betapapun pihak kerajaan menimbulkan seribu alasan untuk menjustifikasikan tidak boleh bertindak. Kerosakan alam sekitar dibawah kuasa regim yang lalu jangan pula disambung oleh pemerintah masakini.
Kedah yang pro-rakyat.
Rintihan rakyat terutama dikalangan golongan bawahan hendaklah menjadi keprihatinan utama kerajaan negeri Kedah. Golongan dilapisan paling bawah yang sering terpinggir dan tersisih perlu segera dibela. Rakyat harus diberi ruang untuk meluahkan pandangan serta keresahan mereka . Rakyat hendaklah digalakkan menyuarakan pandangan mereka dengan tidak merasa tertekan oleh kuasa pemerintah. Polisi pembangunan hendaklah sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat bawahan kerana merekalah yang sering tidak mendapat ni’mat pembangunan secara adil.Pro-rakyat bermakna rakyat sentiasa menjadi rakan dan aktor yang aktif , bukan hanya sekadar menjadi penerima keputusan dari pemerintah semata-mata.
Kedah yang berilmu
WEHDAH mengutamakan budaya ilmu sebagai unsur penting dalam pembangunan Kedah. Kami menginginkan supaya pemerintah memberi perhatian yang bersungguh untuk memberi ruang seluasnya untuk rakyat menimba ilmu. Majlis ilmu perlu disemarakkan oleh pemerintah dengan memberi kemudahan dan laluan yang seluasnya supaya seluruh rakyat akan terdidik dengan ilmu yang mantap dalam kehidupan. Budaya ilmu ini perlu menjadi program dan agenda utama kerajaan negeri Kedah dengan memberi insentif kepada pihak yang menjalankan aktiviti galakan membaca dan menyelidik untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Institusi pendidikan hendaklah diberikan keutamaan dalam penyediaan kemudahan prasarana yang secukupnya. Intitusi pendidikan Islam perlu dibantu dan dibangunkan sebagai institusi yang terpenting untuk mencapai pembinaan masyarakat bertaqwa.
No comments:
Post a Comment