Kedah yang makmur
WEHDAH amat inginkan kemakmuran Kedah diperkongsikan dengan saksama kepada rakyat. Jangan ada pembolotan kekayaan. Kedah perlu menjadi negeri yang makmur dalam pengagihan kekayaannya bukan sahaja dikalangan generasi masakini namun juga untuk generasi mendatang. Polisi penggunaan sumber negeri hendaklah direncana dengan cermat dan berhati-hati agar tidak berlaku kebocoran dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan melampau. Kedah perlu mempunyai keupayaan memperkayakan kemakmuran untuk semua dengan menjalankan polisi kesederhanaan dalam semua gerakerja kerajaan. Pembaziran dan bermewahan adalah suatu pantang larang yang sangat perlu dihindari oleh pemerintah Kedah.
Kedah yang mapan
Konsep dan pembangunan Kedah perlu dicorakkan sehingga ia boleh berlanjutan untuk keperluan generasi akan datang. Pola penggunaan dan pengeluaran perlu disederhanakan agar tidak berlaku pembaziran dan penggunaaan sumber yang berlebihan. Keutamaan hendaklah diberi kepada keperluan asasi dan bukan untuk kehidupan bermewah-mewahan. Pembangunan yang mapan untuk Kedah perlu berdasarkan konsep bahawa segala sumber yang ada adalah amanah dari Allah S.W.T. untuk keperluan semasa dan keperluan akan datang. Kedah yang mapan bermaksud pembangunan yang sangat cermat dan berhemat dalam semua perbelanjaan .
Kedah yang berbudaya Islami
WEHDAH mahu supaya budaya Islam diserlahkan dalam kehidupan rakyat Kedah. Berasaskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang meletakkan bahawa budaya rakyat adalah berteraskan budaya bangsa asal , maka budaya Islam mempunyai status yang istimewa untuk menjadi pencorak kepada budaya rakyat. Budaya Islam yang sarat dengan nilai akhlaq yang tinggi serta jatidiri yang murni mampu untuk menjadi kerangka pembina bangsa dan masyarakat yang beragam etnik dan kepercayaan. Kedah sepatutnya boleh menjadi contoh sebuah negeri yang menyerlahkan budaya hidup Islamiyyah. Jika kerajaan negeri akur bahawa sejarah Islam di Kedah adalah asas pertama kenapa negeri ini perlu menyerlahkan budaya Islam , maka usaha bersungguh untuk menampilkan kegemilangan Kebudayaan hidup Islam di negeri ini perlu dilaksanakan .
Kedah yang selamat
WEHDAH berhasratkan agar negeri Kedah menjadi wilayah yang paling selamat untuk dihuni. Harus ada suatu suasana yang diwujudkan agar gejala jenayah dapat dibendung sehingga ke akar umbi. Sasaran untuk meminimakan gejala penagihan dadah , jenayah oleh kumpulan kongsi gelap dan gangster , sindiket pelacuran , jenayah ragut , jenayah curi , rompakan bersenjata , dan pecah rumah hendaklah diusahakan dengan serius. Kerajaan Kedah hendaklah melancarkan konsep Kedah yang selamat dengan mengembleng semua pihak dan usaha ini perlu dipimpin oleh kuasa kerajaan yang berkesan.
Kedah yang cekap , dan berintegriti
Ketelusan dan kejujuran menjadi kualiti terunggul dalam melaksanakan tanggungjawab urustadbir sebuah kerajaan. Kerajaan yang tiada integriti lambat laun akan dipersoal rakyat. Kedah perlu dilihat bersungguh dalam melaksanakan budaya intergriti yang tinggi dikalangan semua kepimpinan kerajaan , birokrasi , agensi kerajaan tempatan , negeri dan pusat serta institusi akar umbi . Kebertanggungjawaban yang tinggi hendaklah diterap melalui program bina insan soleh yang mantap bagi melahirkan warga Kedah yang berciri ehsaniyyah dan bersikap al-amin. Gejala krupsi , kroni dan kolusi jangan pula menjadi jenama yang tidak juga hilang dari Kedah walapun beraleh kerajaan. Kedah yang kita mahu ialah Kedah yang tidak berkompromi dengan sebarang penyelewangan semada oleh mereka yang menjawat jawatan tinggi mahupun yang memegang amanah diperingkat bawahan.
Kedah yang berbudaya politik sihat
WEHDAH mengidamkan Kedah sebagai sebuah negeri yang wujud aktor – aktor politiknya bermain dalam suasana penuh adab , jujur dan sangat bertangungjawab. bukan sahaja kepada rakyat malah sangat peka kepada pengawasan Allah S.W.T. Sesungguhnya rakyat akan bosan dan mual dengan politik kembiri dan politik merebut jawatan ketika mana keperluan dan suara rakyat diketepikan hanya bila kepentingan politik cantas-mencatas diutamakan. Slogan rakyat didahulukan jangan tinggal satu momokkan bila sebenarnya rakyat yang terpileh sahaja yang didahulukan. Tidak mengapa jika orang politik sangat teruja dengan soal imej , tetapi WEHDAH mahukan politik yang benar-benar mempunyai isi dan visi membela rakyat dalam ertikata sebenar. Retorik politik yang penuh dengan janji-janji manis tetapi pada realitinya kosong dalam tindakan adalah merbahaya untuk survival ummah. Politik membawa beban amanah yang sangat berat lantaran ia berkait dengan kuasa dan kedudukan. Rasuah politik dan politik sogokkan akan menjadi barah yang tidak akan terawat jika Kedah dipenuhi oleh ahli politik yang gelojoh dan hidup hanya dengan serakah nafsu politik untuk membolot kekayaan. Tiada yang lebih serius bila ada ahli politik yang terpilih dalam pilihanraya berpaling tadah hanya kerana terliur dengan tawaran seuncang wang. Bagaikan mengulangi sifat kaum pengsihir yang bertanya kepada Firaun mengenai ganjaran apakah yang akan diberi oleh Firaun jika mereka menang menewaskan mu’jizat yang dimilikki Nabi Musa. Ahli politik sedangkal dan semurah ini tidak harus wujud di Kedah dari parti politik mana sekalipun . WEHDAH juga mahukan supaya amalan politik mempersatukan dan bukan memecahbelahkan dibudayakan di Kedah disemua peringkat. Khilaf siyasi perlu dikendalikan dengan penuh hikmah agar tepung ummah tidak berserakkan ketika benang perselisihan ditarik perlahan-lahan. Kejernihan dan keunggulan pemerintahan dan politik dua Umar iaitu Umar Al Akhattab dan Umar Abdul Aziz perlu diterjemahkan dalam amalan pemimpin-pemimpin kerajaan.
Kedah yang terjamin keperluan makanan untuk rakyat
WEHDAH sangat menekankan soal kemandirian dalam pengeluaran makanan asasi untuk rakyat. Pertumbuhan ekonomi yang terlalu bergantung kepada FDI yang mengutamakan pengeluaran bahan lain dari makanan tidak akan bermakna jika rakyat terpaksa bergantung kepada bekalan makanan dari luar. Kedah yang masih mempunyai saki-baki dari imej jelapang padi perlu memastikan agar pengeluaran padi yang mencukupi sehingga ke tahap 100% untuk sara diri sangat penting dicapai. Usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan asasi yang lain seperti sumber protin , sayuran dan buah-buahan hendaklah menjadi sasaran utama negeri Kedah. Persoalan yang terpenting dalam hal ini ialah perancangan gunatanah untuk pertanian mesti ditegaskan melalui polisi yang ditetapkan dalam rangka pelan pembangunan pertanian untuk makanan. Kawalan yang tegas perlu dilaksanakan untuk memastikan tanah yang ditukar syarat kepada pembangunan mesti melalui syarat yang ketat. Tujuan ini dilakukan ialah agar tercapai Kedah yang kami mahu iaitu Kedah yang ma’mur dengan pengurusan pengeluaran makanan untuk semua.
PENUTUP
Untuk semua ini , kami mengharapkan kerajaan Kedah membuka ruang seluasnya untuk semua pihak dari kalangan masyarakat terlibat aktif memeta pembangunan Kedah. Sudah tiba masanya pemerintah keluar dari sindrom serba tahu dan terlalu tahu. Pemimpin perlu sedar bahawa kesinambungan sebuah pemerintah adalah bergantung kepada keupayaan rakyat dilibatkan dalam membuat keputusan. Parti politik dan orang politik punya peranan tersendiri , namun penentu sebenar adalah rakyat yang sentiasa menilai dan melihat gelagat pemimpin yang dilantik dalam proses demokrasi. Pun begitu , kami juga sedar bahawa kepimpinan negeri perlu dianggotai oleh mereka yang layak menerajui kerajaan . Pemimpin yang tidak tahu membawa diri sebagai pemimpin yang memikul amanah , bukan pemimpin yang layak dianugerah jawatan. Hanya memimpin dengan memikul gelaran bukan pemimpin yang layak dipertaruhkan amanah.
WEHDAH akan bersama-sama dengan semua pihak untuk membina Kedah Yang Kita Mahu. Hasrat ini hanya akan dapat dijayakan dengan memenuhi pra-syarat wujudnya keterbukaan kerajaan , kejujuran pemimpin , kesungguhan pentadbir , dan kejernihan nurani rakyat.
Wassalam
Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid
TERAS,F1014B, Kampung Pondok, Batu Hampar,08400
Merbok, Kedah.
019-4744856
*Jika dicurah kelapangan waktu dan limpahan idea, versi Shoubra akan muncul.
No comments:
Post a Comment