Januari, genap enam bulan saya diberi amanah berat ini oleh Allah Taala. Enam bulan adalah tempoh separuh penggal secara rasmi saya berkhidmat pada komuniti Shoubra. Salah seorang dari Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra.Memegang jawatan Setiausaha Agung.
Enam bulan lepas adalah bulan-bulan belajar, faham, kerja, penat, suka, sedih dan enam bulan terbaik dalam diri saya.
Enam bulan saya belajar untuk memahami sistem sosial dengan lebih baik, dengan Shoubra jadi lokasinya. Menekuni lapis komuniti, memahami masalah, memenuhi kehendak, mendepani cabaran komuniti Shoubra.
Jawatan Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi atau AJKT dalam hieraki komuniti Shoubra, adalah ahli sivil tertinggi yang memimpin,merancang dan mengawasi semua (semua di sini bukan bermakna mutlak, terdapat pengecualian) akitiviti sosial Shoubra. Maka tugas para AJKT seramai 11 orang dengan diketuai Pengerusi ini adalah untuk membentuk suatu komuniti yang lebih baik, lebih berdayasaing dan lebih terpimpin.
Membentuk komuniti termasuk menyediakan fasiliti terbaik pada komuniti sungguhpun Shoubra bukanlah tempat terbaik untuk menyediakan yang terbaik; dibangunkan pada 1800-an, maka bayanglah segala fasiliti yang ditawarkan di sini. Menjamin fasiliti selamat dan mesra budaya antara cabaran tebesar di sini.
Menginsafi sudut ekonomi komuniti pada taraf sederhana maka membiarkan pasaran penempatan komuniti dibuka pada satu pasaran bebas sepenuhnya adalah langkah cukup berisiko dan haruslah dielakkan. Perit berhadapan dengan kerenah perang menaikkan harga adalah pengajaran terbaik.
Membina komuniti dalam nilai budaya sihat adalah tugas berat. Disamping berusaha untuk membina jambatan budaya yang harmonis antara masyarakat pribumi yang tahap kefahaman asas sosial masih pada tahap lemah, satu lagi cabaran budaya yang perlu dihadam sebaiknya adalah pada jalur ragam budaya yang pelbagai yang wujud dalam komuniti Melayu Shoubra.
Harus diingat, Shoubra adalah penemptan terbesar penganut Koptik di Kaherah. Jadi tugas membina jambatan budaya kini bertambah besar, membina hubungan antara agama. Sungguhpun, rasa prejudis melihat keislaman warga Malaysia terlalu rendah walau ada waktunya terzahir, tetapi ketegangan antara agama terlalu mudah meletus jika diabaikan.
Secara umumnya, pandangan masyarkat pribumi untuk menjustifikasikan komuniti Melayu Shoubra berasal dari Tanah Besar China dan kecenderungan tinggi untuk memperlekeh komuniti, adalah batu penghalang terbesar menyekat keharmonian budaya berjalan lancar. Bukan sedikit diskriminasi yang dialami oleh komuniti Malaysia Shoubra akibat salah tanggapan ini.
Maka tugas untuk menjernihkan tanggapan ini, tidak hanya terpundak pada AJKT sahaja, bahkan sebagai komuniti asing di sini, tanggungjawab ini telah pun terpikul pada semua ahli komuniti. Maka peranan berkesan untuk dijadikan pedoman, adalah dengan mengaplikasikan tugas sebagai sebagai seorang Azhari sebaiknya, kerna jenama Al-Azhar masih kekal suci dan dipandang tinggi masyarakat pribumi.
Azhari di sini perlu perincian lanjut, ia membawa ma'na anda membawa jenama Al-Azhar pada diri anda dengan tapak yang telah utuh terbina; seorang Melayu Muslim yang membawa pengamalan agama terampil dan dikukuh oleh jenama Al-Azhar.
Tentunya untuk menampil perwatakan ini memerlukan proses teliti, maka di sini terletak segala penting program yang dianjur badan komuniti di sini, dari kelas pengajian mingguan, diskusi dan forum. Sebagaimana AJKT komited untuk membawa imej ini menjadi kenyataan, penglibatan seluruh ahli komuniti akan membantu proses pengharmonian budaya berjalan lebih lancar.
No comments:
Post a Comment