Showing posts with label masyarkat sivil. Show all posts
Showing posts with label masyarkat sivil. Show all posts

Saturday, May 8, 2010

AWAN MURAM



Dalam Siri Shoubra, Gelapkah Masa Depan ?


Jika punya satu tarikh buat dikenang sejarah hitam pengajian Qiraat Shoubra dan Mansurah, 8 Mei 2010 adalah detiknya.


8 Mei adalah kemuncak duka jika mahu dibanding sejarah hitam lain. Emosi 8 Mei tidak hanya dikongsi mangsa derita, malah rintih sayu ini diraih oleh seluruh dunia.


Kisah 150 pelajar yang melalui perit derita ini bukan harus dipandang biasa - biasa sahaja, kisah ini punya kekuatan untuk dikongsi bersama.


PERTEMBUNGAN KELAS


8 Mei adalah pertembungan ganas dua kelas. 8 Mei adalah pertembungan antara kelas penguasa yang selamanya enak dibuai takhta menentang golongan pencerahan.


Kata silam bagi kelas penguasa ini digelar Umara manakala kumpulan konsisten membawa misi pencerahan digalas golong cendekia Ulama'.


Walau selalu juga dicanang Umara' sama Ulama' bisa harmoni , hakikatnya Ulama' yang sahaja yang selalu disuruh harmoni sama Umara', tanpa Umara' berharmoni bersama Ulama'.


Maka 8 Mei adalah puncak kehampaan kelas pencerahan terhadap kelesuan Umara'. Setelah dicuba harmoni sekian lama, kehampaan malang ini pasti sukar dibendung lewat 8 Mei.

KRISIS NILAI

8 Mei juga adalah bukti pendidikan bukan lagi nilai yang jitu-padu. Pendidikan sebagai nilai sering saja ditumpang gunanya buat sekelian nilai lain. Lihat sahaja bagaimana nilai kuasa ganas merobek nilai pendidikan ini. Akibatnya, pendidikan dijadikan saluran buat kepatuhan buat syahwat pemimpin. Malah, melalui pemerkosaan ganas ini, pendidikan sudah lagi tidak mampu mendidik.Hilang esensinya dan pudar pengaruhya.

Pendidikan juga dipaksa tunduk menghadap gelombang deras ekonomi. Dalam jerutan ketat ini, pendidikan digubah menurut kehendak pasaran. Walhasil, sebarang ilmu yang memberi keuntungan minimum pada pasaran hanya selayaknya diketepikan.

PERTEMBUNGAN IDEA

Kejadian 8 Mei juga adalah perkelahian idea. Di satu belah memilih untuk kekal mewarisi idea pembodohan dan kedangkalan. Manakala satu pihak berhempas pulas keluar dari kepompong zulumat ini.


Tentu dalam pertembungan idea, semua idea mampu dihujah untuk dilaksana. Namun pabila idea itu melibat barang taruhan yang kekal degil untuk menyanggupi gagasan tersebut, gelombang 8 Mei mampu untuk tercetus pada versi - versi lain.

Wednesday, April 7, 2010

JITRA: SATU CATATAN KEPRIHATINAN (1)

Demi berlaku adil pada Jitra, maka tulisan ini harus juga dilayangkan.

Menjenguk kembali Jitra setelah hampir beberapa lama menyepi, pita nostagia memutar kisahnya. Anak kecil yang berjiran Masjid Al-'Ala itu, kini berkepit pula dengan istana. Anak cikgu itu pun sudah panjang jejak hingga luar negara.

Akan Jitra, harkat majunya berundur tidak, derasnya juga makin dirasa. Jika sepuluh tahun lalu, masih riang berlari di bendang padi, alih sedekad berlari di celahan bangunan batu. Dulu, hiruk memandu satu lorong, kini sudah bertambah dua, malah tiga. Yang suatu ketika megah diwakili sang Perdana Menteri kini pencen pun sudah, berTun pun sudah.

Sehingga kini, Jitra punya satu imej kekal tegar melingkarinya. Jika digali dalam-dalam, diperhati tajam-tajam, imej tegar ini akan segera terpancar. Mungkin saja imej ini tidak popular tatkala pandangan umum berpendapat semua imej harus pantas dirasa materinya, dizahir batang tubuhnya.

Secara konsisten, Jitra masih tegar dililit imej bandar pendidikan.Malah tidak keterlaluan, dilabel kota pendidikan Kedah. Lihat saja ragam institusi pelbagai jalur yang melingkari Jitra.

Galur tradisional, konvesional dan alternaif semuanya telahpun mewarnai citra pendidikan Jitra sejak lamanya. Sebagaimana adat alam, sesuatu kejadian pasti punya pasang surutnya, begitu juga ketiga galur ini.Pra kemerdekaan, mungkin sahaja galur tradisional punya pengaruh luas sebelum diganti aliran konvensional yang kini semakin terjelir kebobrokannya, memungkinkan galur alternatif kian mendaki tangga puncaknya.

Namun bukan kemasyuhran galur menjadi mauduk utama di sini...
Bersambung..

(p/s)   Memasuki tempoh lesu. Tulisan-tulisan seterusnya mungkin juga akan digantung begini. Doakan untuk terus diberi limpah idea dan daya usaha untuk terus menulis.

Tuesday, March 23, 2010

STATUS untuk apa ? (preface)

Dari awal mula penciptaan, semua makhluk punya status sosial sendiri ; dari sehalus semut hingga sebesar dinosaur. Status ini dititip sebagai suatu kod pengenalan universal dalam sesebuah komuniti dan berfungsi efektif dalam membina identiti sesuatu entiti.

Setiap golongan makhluk diberi status sosial tersendiri untuk dibangun potensinya sebagai penghuni alam ini. Tentunya, kumpulan makhluk yang menerima habuan lumayan adalah manusia.

Manusia nyata beruntung, sangat beruntung. Nyata Tuhan dengan kasih-Nya membekal dan menjamin status sosial paling tinggi dalam segenap penciptaan. Kenyataan manusia sebagai ahsanu taqwim memungkinkan manusia menerima pundak tanggugjawab pentadbir alam ( 1:30) setelah keengganan kumpulan ciptaan lainnya (33:73).

Ternyata, status sosial manusia sejak dari awal tercipta Adam a.s sudah punya tempo pengembangan dan penguncupan tersendiri. Mengejutkan, Adam a.s. pra kemunculannya (pencipataanya) sudah memegang status sosial tersendiri, tambahan menjadi polemik hangat antara makhluk yang lebih awal darinya (malaikat) dengan Allah s.w.t.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

Dengan status sosial juga manusia menentukan sikap, tindak dan perilaku. Seorang kaya melihat pantai luas sebgai ruang untuk dimajukan manakala sang nelayan mungkin sudah cukup untuk dijadikan tempat kembali melepas lelah setelah mengharung gelora lautan.


FEBRUARI 2010
LOT 18, JALAN ISTANA

Thursday, January 14, 2010

Enam Bulan Satu

sudut seni rumah saya

Januari, genap enam bulan saya diberi amanah berat ini oleh Allah Taala. Enam bulan adalah tempoh separuh penggal secara rasmi saya berkhidmat pada komuniti Shoubra. Salah seorang dari Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra.Memegang jawatan Setiausaha Agung.

Enam bulan lepas adalah bulan-bulan belajar, faham, kerja, penat, suka, sedih dan enam bulan terbaik dalam diri saya.

Enam bulan saya belajar untuk memahami sistem sosial dengan lebih baik, dengan Shoubra jadi lokasinya. Menekuni lapis komuniti, memahami masalah, memenuhi kehendak, mendepani cabaran komuniti Shoubra.

Jawatan Ahli Jawatan Kuasa Tertinggi atau AJKT dalam hieraki komuniti Shoubra, adalah ahli sivil tertinggi yang memimpin,merancang dan mengawasi semua (semua di sini bukan bermakna mutlak, terdapat pengecualian) akitiviti sosial Shoubra. Maka tugas para AJKT seramai 11 orang dengan diketuai Pengerusi ini adalah untuk membentuk suatu komuniti yang lebih baik, lebih berdayasaing dan lebih terpimpin.

Membentuk komuniti termasuk menyediakan fasiliti terbaik pada komuniti sungguhpun Shoubra bukanlah tempat terbaik untuk menyediakan yang terbaik; dibangunkan pada 1800-an, maka bayanglah segala fasiliti yang ditawarkan di sini. Menjamin fasiliti selamat dan mesra budaya antara cabaran tebesar di sini.

Menginsafi sudut ekonomi komuniti pada taraf sederhana maka membiarkan pasaran penempatan komuniti dibuka pada satu pasaran bebas sepenuhnya adalah langkah cukup berisiko dan haruslah dielakkan. Perit berhadapan dengan kerenah perang menaikkan harga adalah pengajaran terbaik.

Membina komuniti dalam nilai budaya sihat adalah tugas berat. Disamping berusaha untuk membina jambatan budaya yang harmonis antara masyarakat pribumi yang tahap kefahaman asas sosial masih pada tahap lemah, satu lagi cabaran budaya yang perlu dihadam sebaiknya adalah pada jalur ragam budaya yang pelbagai yang wujud dalam komuniti Melayu Shoubra.

Harus diingat, Shoubra adalah penemptan terbesar penganut Koptik di Kaherah. Jadi tugas membina jambatan budaya kini bertambah besar, membina hubungan antara agama. Sungguhpun, rasa prejudis melihat keislaman warga Malaysia terlalu rendah walau ada waktunya terzahir, tetapi ketegangan antara agama terlalu mudah meletus jika diabaikan.

Secara umumnya, pandangan masyarkat pribumi untuk menjustifikasikan komuniti Melayu Shoubra berasal dari Tanah Besar China dan kecenderungan tinggi untuk memperlekeh komuniti, adalah batu penghalang terbesar menyekat keharmonian budaya berjalan lancar. Bukan sedikit diskriminasi yang dialami oleh komuniti Malaysia Shoubra akibat salah tanggapan ini.

Maka tugas untuk menjernihkan tanggapan ini, tidak hanya terpundak pada AJKT sahaja, bahkan sebagai komuniti asing di sini, tanggungjawab ini telah pun terpikul pada semua ahli komuniti. Maka peranan berkesan untuk dijadikan pedoman, adalah dengan mengaplikasikan tugas sebagai sebagai seorang Azhari sebaiknya, kerna jenama Al-Azhar masih kekal suci dan dipandang tinggi masyarakat pribumi.

Azhari di sini perlu perincian lanjut, ia membawa ma'na anda membawa jenama Al-Azhar pada diri anda dengan tapak yang telah utuh terbina; seorang Melayu Muslim yang membawa pengamalan agama terampil dan dikukuh oleh jenama Al-Azhar.

Tentunya untuk menampil perwatakan ini memerlukan proses teliti, maka di sini terletak segala penting program yang dianjur badan komuniti di sini, dari kelas pengajian mingguan, diskusi dan forum. Sebagaimana AJKT komited untuk membawa imej ini menjadi kenyataan, penglibatan seluruh ahli komuniti akan membantu proses pengharmonian budaya berjalan lebih lancar.

Wednesday, January 13, 2010

Petang 12 Januari

Petang Januari 12 pasti akan dikenang lama di dinding sejarah warga Melayu di Shoubra. Kejayaan menangkap sang durjana yang punya fikiran dangkal; kaum miniroti hanya untuk dizalimi, tidak layak untuk sama menumpang langit yang sama, tak ubah seperti pemuka apartheid, memang layak dilanyak sepuasnya.


Kejayaan menangkap durjana ini membuktikan warga Melayu tidak datang ke balai polis hanya sekadar menghabiskan air liur dan dakwat pen untuk membuat report kosong dan kemudian melangkah keluar untuk sama bersetuju dengan pak polisi bahwa sang durjana dari kalangan anak Melayu. Nah! Raut Melayukah ini?




Penceritaan sejarah sepanjang zaman jarang benar dihikayatkan kaum kecil menindas puak besar,majoriti beralah kontra,namun, selalu saja kita diingatkan kaum kecil bukan kaum lemah. Jika diheret ke medan beradu, pasti sahaja si kecil akan bertukar besar hebat, si besar mengambil tempat si kecil.


Islam mulanya Rasul Muhammad s.a.w , diturut kelas bawahan di Bakkah, ditekan semahunya puak besar Quraisy,tapi berentap di Badar, siapa pemenangnya ?


The Reds Liverpool, kelab underdog Liga Juara Eropah 2005 dipanah tiga kali Si Rosonneri, hanya mengambil enam minit menjangkau Dida. Kapten mana yang menjulang piala bertelinga besar itu?


Ingat!

Kaum minoriti kecil di Shoubra sudah lama menderita,banyak luka-luka belum berbalut,banyak sudah anggota yang tercabut. Kami tak ingin jadi besar,biarlah kami kecil namun jangan cuba memandang kecil pada kami.

Thursday, December 31, 2009

Kalam Khatam 2009

Di kalangan warga Shoubra, pandangan umum kepada seorang mama (puan punya rumah) mewakili pandangan yang bias pada posisi sebenarnya. Dengan mengenepikan pandangan umum terhadap para penipu, pencuri dan sewaktu dengannya; golongan yang terzahir melakukan onar pada warga Shoubra, pandangan pada seorang mama sering terbias ke arah ini.

Bias dari sudut pandangan di sini bermakud, gagal untuk membangun pandangan secara tepat pada golongan mama. Hakikat ini berlaku bukannya diakibatkan oleh ketidakmampuan warga Shoubra, akan tetapi berdasarkan hakikat yang terpamer di balik segala kelakuan yang dizahirkan.

Sementara kita menggangap golongan tuan/puan rumah seluruhnya sebagai kumpulan sosial yang menjamin salah satu hak asasi insani kita, selain pakaian dan makanan, realiti yang berlaku adalah hampir kontra seluruhnya.

Mengganggap warga Shoubra semuanya lahir dari lapis bangsawan, seperti mana bangsa Arab di Dubai, golongan pelajar di sini sering dijadikan tempat dilempiaskan haloba iktisad golongan mama, tanpa mereka cuba menginsafi taraf ekonomi yang mampu dianut oleh sebahagian besar warga Shoubra.

Jika kita mampu untuk menerima hakikat bahawa Shoubra membentuk kota besar Kaherah, bagaimana mampu kita sekadar berpuas hati untuk menerima sebuah kediaman 'usang' namun dibebankan kos sewa yang melepasi harga siling ?

Dengan kondisi kediaman yang menawarkan masalah yang beragam, kita sering kali digulakan dengan pelbagai alasan sekadar untuk merasionalkan tindakan golongan ini.

Tanpa menafikan wujud sedikit pengecualian pada golongan ini ; mampu untuk menanggapi warga Shoubra sebaiknya, sebahagian besarnya masih selesa untuk mengekalkan 'status quo'.

Lebih dari itu, kegagalan untuk memenuhi ikatan perjanjian yang termetrai bersama sekadar mecucuk luka yang sudah sekian lama membarah.

Episod kenaikan harga setelah berlaku perjanjian, pengusiran atas alasan yang mampu diterima golongan separuh waras, dan pelbagai masalah teknikal lain yang berlaku saban tahun pada kediaman warga Shoubra menjanjikan kita tidak mendapat happy ending indah tiap tahun

Menjelang 2010, jalan keluar masih jauh di hadapan. Dengan izin-Nya, sepanjang tahun depan saya akan mula serius menulis segalanya mengenai komuniti Shoubra.